Diterbitkan pada 1 Februari 2026, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Besut – Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah menganjurkan program Bimbingan Penulisan Jawi dan Seni Khat bagi pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) Major Bahasa Melayu ambilan Ogos 2025.

Program ini berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun untuk sesi penulisan Jawi, manakala sesi pembelajaran seni khat diadakan di Dewan Al-Kindi bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 6.45 petang dan disertai sebanyak 203 orang peserta.

Menurut Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGKSM, YBrs. Dr. Azrizan binti Abu Bakar,  penganjuran bengkel ini signifikan dalam usaha memelihara dan memperkasakan warisan bangsa.

“Tulisan Jawi dan seni khat bukan sekadar medium komunikasi dan seni visual, sebaliknya lambang jati diri, sejarah dan peradaban Melayu-Islam yang perlu difahami, dihayati dan diwariskan oleh bakal guru,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras Program, Encik Mohammad bin Che Majid menjelaskan bahawa bengkel ini dirangka secara holistik dengan menggabungkan aspek teori dan amali. Peserta didedahkan kepada kaedah penulisan Jawi, serta seni khat Riqa’ah, Thuluth dan Nasakh, termasuk latihan pembentukan huruf dan estetika bagi meningkatkan penguasaan dan keyakinan mereka dalam konteks pengajaran.

Program ini dibimbing oleh Munsyi Dewan (Jawi), Tuan Mohd Syahrizan Nyuzi bin Saari serta Pengarah Urusan Galeri dan Grafik, Tuan Nik Abd Rahman Zaki bin Nik Abd Kadir. Para peserta turut menerima latihan pemantapan ilmu berkaitan dengan sistem ejaan Jawi, termasuk hukum darlung, hukum ka-ga, penggunaan akronim dan singkatan, serta hukum tiga suku kata.

Sesi pembelajaran hukum Jawi bersama-sama Munsyi Dewan (Jawi), Tuan Mohd Syahrizan Nyuzi bin Saari.

Saudara Muhammad Rafiq bin Mohd Sukandar, satu daripada peserta menyifatkan bengkel ini sebagai platform penting bagi bakal pendidik.

“Ilmu Jawi dan seni khat yang dipelajari dapat dimanfaatkan dalam pengajaran di sekolah, sekali gus menyemai minat murid terhadap warisan tulisan dan budaya bangsa,” ujarnya.

Sesi pengukuhan tulisan seni khat diajar secara langsung kepada pelajar oleh Pengarah Urusan Galeri dan Grafik, Tuan Nik Abd Rahman Zaki bin Nik Abd Kadir.

Penganjuran program ini turut memperkukuh jalinan kerjasama antara IPGKSM dengan DBPWT dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu, tulisan Jawi dan seni khat.

Program seumpama ini diyakini dapat meningkatkan kompetensi pedagogi bakal guru, serta menyemai kesedaran tanggungjawab mereka sebagai pewaris khazanah bahasa dan budaya Melayu selaras dengan aspirasi pendidikan kebangsaan.

Program ini menekankan tanggungjawab bakal guru memelihara khazanah bahasa dan budaya Melayu.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi