Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – “Slogan Bahasa Jiwa Bangsa masih relevan sebagai teras identiti nasional pada zaman ini, namun penghayatannya dalam kalangan generasi muda dilihat semakin berkurangan akibat pengaruh bahasa asing dan perubahan gaya komunikasi semasa.”
Demikian ulasan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Encik Nuqman Naufal Nor Azhari selaku panel bagi sesi bual bicara yang merupakan antara pengisian dalam Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-12 (SALPBM XII) yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, petang tadi.
Selain menilai cabaran penguasaan bahasa dalam kalangan generasi muda, sesi bual bicara tersebut menghimpunkan ahli akademik dan mahasiswa bagi membincangkan kedudukan bahasa Melayu dalam konteks dunia kini.
Pengerusi SALPBM XII, YBrs. Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram selaku moderator menegaskan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang identiti dan jati diri bangsa yang perlu dipelihara.
“Slogan Bahasa Jiwa Bangsa perlu dihayati secara mendalam dan bukan sekadar ungkapan simbolik,” ujar beliau.

Sementara itu, Encik Nuqman Naufal Nor Azhari berpandangan bahawa penghayatan terhadap bahasa Melayu semakin terhakis dalam kalangan anak muda akibat pengaruh bahasa Inggeris serta budaya komunikasi digital yang bercampur aduk.
Menurut beliau, fenomena ini berlaku kerana kurangnya pemahaman yang mendalam terhadap fungsi bahasa sebagai identiti bangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta universiti awam dalam menganjurkan program berkaitan bahasa perlu diperkukuh dari segi capaian dan penglibatan mahasiswa agar impaknya lebih menyeluruh.
Pada masa yang sama, beliau menolak pandangan bahawa kemajuan hanya boleh dicapai melalui pengamalan budaya Barat semata-mata, sebaliknya menegaskan bahawa negara seperti Jepun dan Korea membuktikan bahawa kemodenan boleh dicapai tanpa perlu mengorbankan bahasa dan identiti sendiri.
“Sekiranya kita ingin menjadi moden, kita tidak semestinya perlu seperti Barat. Jepun dan Korea membuktikan bahawa mereka boleh maju tanpa mengorbankan bahasa dan identiti sendiri,” ujar beliau.

Perbincangan turut menyentuh isu penggunaan bahasa slanga serta kerancuan bahasa yang semakin ketara dalam kalangan generasi muda, khususnya dalam komunikasi harian dan media sosial yang dikhuatiri menjejaskan ketepatan serta keindahan bahasa Melayu.
Selain itu, turut dibangkitkan kebimbangan terhadap pencapaian akademik bahasa Melayu dalam kalangan pelajar yang didapati tidak seimbang dengan tahap penguasaan bahasa Inggeris bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Kalau kita sendiri tidak bangga dengan bahasa kita, siapakah lagi yang akan mempertahankannya?” tegas beliau.
Tambahan pula, penegasan turut diberikan terhadap pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam urusan rasmi dan pentadbiran negara.
Menutup sesi bual bicara, kedua-dua panel dan moderator merumuskan bahawa pemerkasaan bahasa Melayu pada masa kini memerlukan komitmen yang berterusan daripada semua pihak, khususnya generasi muda, agar bahasa tersebut terus kekal sebagai tunjang identiti negara dalam mendepani arus globalisasi.