Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching — “Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-70 pada tahun ini dengan sambutan utama berpusat di Sarawak,” ujar Ketua Pengarahnya, YBrs. Dr. Hazami Jahari. Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, hari ini.
Menurut beliau, ulang tahun DBP yang disambut pada 22 Jun setiap tahun itu mengangkat tema “Restu Jiwa Pahlawan” yang diambil daripada lirik lagu rasmi DBP hasil nukilan Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Usman Awang. Tambah beliau:
Tema ini kita pecahkan kepada tiga kluster utama, iaitu ‘Restu’, ‘Jiwa’ dan ‘Pahlawan’ bagi memperincikan konsep, naratif serta sasaran pelibatan sepanjang sambutan berlangsung.
YBhg. Dr. Hazami menjelaskan bahawa kluster “Restu” melambangkan amanah dan kepercayaan yang diwariskan oleh tokoh bahasa dan sastera terdahulu kepada warga DBP masa ini. Kluster ini memberikan tumpuan terhadap pelibatan karyawan serta mantan karyawan DBP melalui program pemupukan bakat dan pengiktirafan yang dilaksanakan secara dalaman.
Sementara itu, kluster “Jiwa” memberikan fokus kepada generasi muda sebagai pewaris masa hadapan bangsa. Kluster ini melibatkan pelajar daripada pelbagai peringkat, bermula dari prasekolah hingga institusi pendidikan tinggi. Penekanan diberikan Pembinaan minat dan kecintaan terhadap bahasa Melayu akan diberikan penekanan dalam kluster ini.
Antara program yang dirancang di bawah kluster ini termasuklah Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK), Eksplorasi Jawi, Penghayatan Puisi, Sahabat Kata, program Seronoknya Membaca, Pembudayaan Jawi serta inisiatif seperti Dana Silang Budaya dan Naskhah Budi MADANI.
“Kluster ‘Pahlawan’ pula melambangkan peranan masyarakat sebagai benteng bahasa kebangsaan. Golongan pendidik, penjawat awam, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti setempat dianggap sebagai ‘pahlawan’ yang akan memastikan bahasa Melayu terus berdaulat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sambutan pada tahun ini turut merangkumi dua komponen utama, iaitu Kembara MADANI Bahasa dan Sastera serta Majlis Sambutan Ulang Tahun.
Program kembara tersebut akan menjelajah seluruh negara mengikut zon, melibatkan zon tengah, utara, timur, selatan serta Sabah dan Sarawak. Setiap lokasi dipilih berdasarkan signifikan sejarah dan sumbangannya terhadap perkembangan bahasa dan sastera.
Kembara akan dilaksanakan melalui penjelajahan ke setiap negeri yang distrukturkan mengikut zon, iaitu zon tengah (Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang), zon utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis), zon timur (Terengganu, Kelantan), zon selatan (Johor, Melaka) dan zon Sabah serta Sarawak,” ujarnya.
Sebagai contoh, Kuala Pilah dipilih bagi pelancaran zon tengah kerana merupakan tempat kelahiran tokoh bahasa tersohor, iaitu Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba.
Mengulas cabaran semasa bahasa Melayu, YBrs. Dr. Hazami berkata, terdapat beberapa isu utama yang perlu diberikan perhatian, antaranya termasuklah sikap dan minda masyarakat yang masih memandang rendah terhadap keupayaan bahasa kebangsaan dari segi nilai ekonomi, keilmuan dan prestij.
Selain itu, beliau turut menekankan peranan media massa yang dilihat menyumbang kepada kerancuan bahasa melalui penggunaan slanga dan percampuran bahasa. Ujarnya lagi:
Cabaran lain ialah persaingan ekonomi apabila terdapat tanggapan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam perniagaan tidak memberikan pulangan yang baik.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa penguasaan pelbagai bahasa merupakan satu keperluan dalam dunia moden, namun penggunaan dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan ialah satu tanggungjawab. “Cabaran terbesar kita sebenarnya ialah minda yang masih terjajah,” ujarnya.