Diterbitkan pada 18 April 2026, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selandar – Sekumpulan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh telah menjalankan satu tinjauan berkaitan dengan tahap literasi asas dalam kalangan murid sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Selandar, di sini, semalam.

Tinjauan yang mengangkat slogan “Menyulam Aksara, Membina Masa Depan” ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus Usrah in Action 1 di bawah penyeliaan YBrs. Dr. Nurul Jamilah binti Rosly dengan kerjasama guru SK Selandar. Tinjauan tersebut melibatkan murid tahun satu hingga tiga dengan tumpuan khusus kepada murid Orang Asli yang dikenal pasti menghadapi masalah literasi 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

Menurut penganjur, tinjauan ini bertujuan untuk melihat sejauh manakah tahap kefahaman murid untuk menguasai kemahiran asas bahasa, di samping mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam proses pembelajaran.

Sepanjang tinjauan dijalankan, para pelajar UIAM  Kampus Pagoh telah mengadakan aktiviti pembelajaran interaktif berbentuk cantum suku kata bagi menilai keupayaan murid mengenal huruf, membina suku kata dan seterusnya membentuk perkataan mudah. Aktiviti tersebut turut membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih santai dan menyeronokkan, sekali gus meningkatkan pelibatan aktif murid.

Aktiviti cantum suku kata yang dijalankan bersama-sama dengan pelajar orang asli SK Selandar.

Selain itu,  pelajar yang mengikuti tinjauan ini turut berpeluang melawat persekitaran sekolah bagi meneliti suasana pembelajaran murid serta memahami pendekatan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru di SK Selandar. Lawatan ini memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang konteks pembelajaran murid, termasuk faktor persekitaran yang mempengaruhi tahap penguasaan literasi mereka.

Hasil pemerhatian mendapati masih terdapat murid yang berada pada tahap asas dalam penguasaan literasi, khususnya dalam kalangan murid Orang Asli. Antara faktor yang dikenal pasti mempengaruhi keadaan ini termasuk latar belakang bahasa, persekitaran pembelajaran serta tahap pendedahan awal terhadap pendidikan formal.

Walau bagaimanapun, pendekatan pengajaran secara interaktif yang dilaksanakan dilihat berjaya meningkatkan keyakinan murid untuk mencuba dan belajar tanpa rasa tertekan. Hasil tinjauan ini diharapkan dapat dijadikan asas terhadap usaha intervensi pendidikan yang lebih berfokus, sekali gus membantu meningkatkan tahap penguasaan literasi dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya komuniti Orang Asli.

Tinjauan ini turut mencerminkan komitmen pelajar institusi pengajian tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan masyarakat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti, selaras dengan usaha memperkasakan literasi demi masa hadapan yang lebih gemilang.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi