Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Industri buku negara terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila jumlah pendaftaran International Standard Book Number (ISBN) dan International Standard Serial Number (ISSN) kekal tinggi, mencerminkan ekosistem penerbitan yang aktif dan dinamik.
Menurut Kementerian Perpaduan Negara (KPN), bagi tahun 2025 sebanyak 23 485 ISBN dan 304 ISSN telah direkodkan, manakala pada tahun 2024 pula mencatatkan jumlah sebanyak 24 017 ISBN dan 245 ISSN.
Angka ini menjadi bukti jelas bahawa industri buku negara semakin rancak dengan penerbitan bahan ilmiah dan bacaan umum terus berkembang seiring dengan permintaan masyarakat.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan bahawa perkembangan positif ini bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan industri penerbitan, malah memperkukuh usaha kerajaan untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tambah beliau, hal ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat berilmu, berdaya fikir dan berbudaya ilmu menjelang matlamat Malaysia sebagai Negara Membaca 2030.
KPN berkata, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebagai Pusat Kebangsaan ISBN dan ISSN, terus memainkan peranan strategik bagi menyokong industri ini melalui penyediaan perkhidmatan piawaian antarabangsa yang memudahkan penerbitan, pengedaran serta pengiktirafan bahan terbitan pada peringkat global.
KPN juga komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak termasuk penerbit, penulis, institusi pendidikan dan komuniti demi memastikan budaya membaca terus subur dan menjadi asas terhadap pembinaan masyarakat MADANI yang berilmu, inklusif dan berdaya saing.