Diterbitkan pada 30 April 2026, 13:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuka tirai sesi pengauditan pada tahun ini sebagai kementerian pertama yang diaudit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 hingga 30 April 2026.

Sesi pengauditan yang berlangsung pada kali ini merupakan audit susulan setelah pertama kali diaudit pada 18 hingga 22 November 2013. Audit susulan dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 yang menetapkan agar setiap kementerian, jabatan atau agensi perlu melalui pengauditan semula sekurang-kurangnya tiga tahun sekali oleh DBP.

Sesi penyemakan dokumen rasmi oleh urus setia DBP.

Mesyuarat pembukaan telah diadakan pada 27 April 2026, manakala mesyuarat penutupan telah diadakan pada 30 April 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Setiausaha, Seksyen Parlimen, Inovasi dan Pemerkasaan Bahasa Melayu, Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Puan Che Hazwani binti Che Mansor.

Audit Bahasa Melayu merupakan projek yang dilaksanakan setiap tahun untuk  menilai tahap penggunaan bahasa Melayu dan mutu penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian PO. 1.1.1 Versi 1.0 (2022): Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam dan Surat Edaran Penggunaan Bahasa Melayu dalam Semua Urusan Rasmi.

Sesi pembentangan Laporan Audit Bahasa Melayu di KPT.

Sebanyak 376 dokumen rasmi telah diaudit yang merangkumi surat, dokumen perjanjian, minit mesyuarat, e-mel, notis, laporan dan kertas cadangan, nota pembentangan, teks ucapan, teks pengacaraan, teks bacaan doa serta paparan dan peragaan. Dokumen rasmi ini dinilai dari aspek tahap penggunaan bahasa Melayu sama ada menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, bahasa lain sepenuhnya atau bahasa bercampur. Dari aspek mutu penggunaan bahasa pula, penilaian dibuat dari segi ejaan, tanda baca, kosa kata dan binaan ayat.

Berdasarkan dapatan audit, KPT memperoleh Aras 5: Sangat Baik bagi aspek Tahap Penggunaan Bahasa Melayu, manakala bagi aspek Mutu Penggunaan Bahasa Melayu pula, KPT memperoleh Aras 4: Baik. Audit susulan ini menunjukkan sedikit peningkatan peratusan bagi aspek tahap penggunaan bahasa Melayu berbanding dengan pengauditan pada tahun 2013. Hal ini membuktikan bahawa KPT tetap menitikberatkan tahap penggunaan bahasa Melayu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 dan pekeliling kerajaan yang sedang berkuat kuasa.

Walau bagaimanapun, dari aspek mutu penggunaan bahasa Melayu, didapati berlaku sedikit penurunan markah peratusan. Penilaian yang dilaksanakan mendapati bahawa kesalahan tatabahasa perlu diberikan perhatian dan penekanan dari aspek ejaan, tanda baca, pemilihan kata dan binaan ayat dalam dokumen rasmi dan juga pada paparan dan peragaan.

Dalam ucapan penutupan, Puan Che Hazwani binti Che Mansor memaklumkan bahawa hasil dapatan audit bahasa Melayu ini akan digunakan bagi menambah baik penggunaan bahasa Melayu di KPT. Dapatan audit ini juga akan digunakan sebagai punca kuasa untuk membetulkan kesalahan dan kesilapan penggunaan bahasa Melayu di KPT dan seterusnya dijadikan panduan dan rujukan untuk sesi pengauditan pada masa akan datang.

DBP juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada KPT yang menyambut baik pelaksanaan audit susulan di kementerian ini setelah diaudit kali pertama pada tahun 2013. Pelaksanaan audit ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBP untuk memartabatkan dan memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu, khususnya dalam urusan rasmi.

Ujar Puan Che Hazwani binti Che Mansor,

Kami amat berterima kasih kepada DBP yang telah melaksanakan Audit Bahasa Melayu di KPT. Banyak ilmu yang kami peroleh dan pelajari hasil daripada penemuan audit ini khususnya dari aspek tatabahasa. Kami menerima segala teguran dan akan membuat penambahbaikan dalam dokumen pada masa akan datang.

Yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, YBrs. Dr. Norhafizah binti Mohamed Husin; Munsyi Dewan (Bahasa), Puan Hasnah binti Mohd. Saleh; Pegawai Perancang Bahasa DBP dari Bahagian Penguatkuasaan, Puan Roslida binti Mustapha, Puan Syasya Najibah binti Sallim dan Encik Mohd Fauzan bin Mohd.

Kredit Foto: ADIB ZULKIFLI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi