Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penguatkuasaan meneruskan pelaksanaan Audit Bahasa Melayu di Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada 11 Mei hingga 14 Mei 2026. Audit yang dilaksanakan ini merupakan pengauditan kali pertama oleh DBP sejak kementerian ini ditubuhkan secara rasmi sebagai sebuah kementerian penuh pada 10 Mac 2020.

Encik Ahmad Faizal bin Mohamad, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, KPN mempengerusikan mesyuarat pembukaan yang diadakan pada 11 Mei 2026 manakala mesyuarat penutupan dan pembentangan laporan audit telah diadakan pada 14 Mei 2026 yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Mohamad Azhan bin Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan). DBP pula diketuai oleh Ketua Pengarah, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dan diringi oleh Puan Roziah binti Md. Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan serta YBrs. Dr. Norhafizah binti Mohamed Husin, Ketua Bahagian Penguatkuasaan, DBP.
Bahagian di KPN yang terlibat dalam sesi pengauditan ini termasuklah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Bahagian Kesepaduan Nasional, Bahagian Kolaborasi Strategik, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Khidmat Pengurusan, Unit Komunikasi Korporat, Unit Audit Dalam dan Pejabat Penasihat Undang-undang.

Sebanyak 264 dokumen rasmi telah diaudit yang merangkumi surat, dokumen perjanjian, e-mel, notis, minit mesyuarat, memo, laporan dan kertas cadangan, nota pembentangan, dokumen edaran, teks ucapan, teks pengacaraan, teks bacaan doa, pengiklanan kekosongan jawatan, perkhidmatan kaunter, maklum balas aduan dan isu media massa serta paparan dan peragaan. Dokumen rasmi ini dinilai dari aspek tahap penggunaan bahasa Melayu sama ada menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, bahasa lain sepenuhnya atau bahasa bercampur. Dari aspek mutu penggunaan bahasa Melayu pula, penilaian dibuat dari segi ejaan, tanda baca, kosa kata dan binaan ayat. Penilaian telah dilaksanakan oleh Encik Abdul Ghalib bin Yunus, Munsyi Dewan (Bahasa) yang berpengalaman luas dalam bidang kebahasaan dan dibantu oleh urus setia DBP, Puan Roslida binti Mustapha, Puan Syasya Najibah binti Sallim dan Encik Mohd Fauzan bin Mohd.

Tahniah kepada KPN yang memperoleh pencapaian tertinggi dalam skala penilaian Audit Bahasa Melayu, iaitu Aras 5: Sangat Baik bagi aspek Tahap Penggunaan Bahasa dan Mutu Bahasa Melayu. Pencapaian yang cemerlang ini wajar dijadikan contoh dan penanda aras oleh sektor awam yang lain bagi memartabatkan dan memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Dalam ucapan penutupan, YBhg. Datuk Mohamad Azhan bin Md. Amir memaklumkan bahawa KPN sangat komited untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam urusan rasmi di kementerian. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada DBP kerana telah menyenaraikan KPN sebagai satu daripada kementerian yang diaudit pada tahun ini. Beliau berlapang dada menerima segala teguran yang ditemukan dalam sesi pengauditan ini. Beliau juga berharap agar kerjasama yang terjalin antara DBP dengan KPN melalui pelaksanaan Audit Bahasa Melayu ini juga dapat membuka ruang dan peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk merancang program kerjasama kegiatan kebahasaan dan persuratan Melayu yang lain.
Ujar beliau,
Terima kasih kepada DBP kerana menyenaraikan KPN untuk diaudit pada tahun ini. Kami bersedia untuk diaudit dan berharap agar hasil penemuan audit dapat membantu KPN membuat penambahbaikan penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi di KPN.
Sementara itu, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP menzahirkan ucapan penghargaan atas kesediaan KPN yang menyambut baik pelawaan DBP untuk diaudit pada tahun ini. Persediaan dan perancangan yang teratur dari segi dokumen dan keurussetiaan membolehkan audit berlangsung dengan jayanya. Beliau juga menegaskan bahawa bahasa kebangsaan wajar diperkasakan dalam semua bidang. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga mempunyai nilai ekonomi dan perlu diberikan penekanan dan keutamaan dalam penamaan tempat, nama program serta paparan di tempat awam.