Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Terengganu − Kelab Rukun Tetangga Kuala Nerus berjaya mencuri perhatian juri apabila dinobatkan sebagai johan program Pentas Pengulas Cita Rasa bersempena dengan Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa (KEMBARA LESTARI) yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 8 Mei hingga 10 Mei 2026 di Kuala Terengganu.
Program Pentas Pengulas Cita Rasa yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama ADABI Terengganu (M) Sdn. Bhd. ini merupakan satu daripada pengisian dalam KEMBARA LESTARI bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Zon Timur.

Kemenangan itu diraih menerusi hidangan rendang ayam tradisi ADABI serta puding jagung kuah kastard. Pasukan ini berjaya memikat hati juri melalui penyampaian ulasan yang tersusun, yakin dan menarik dengan menggunakan bahasa yang baik ketika sesi ulasan program tersebut. Keupayaan peserta menghuraikan jenis bahan, teknik masakan serta keistimewaan menu dengan jelas dan menarik menjadi antara faktor utama kejayaan mereka.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail, program ini bukan sahaja dapat menonjolkan kehebatan peserta dalam penyediaan masakan berasaskan produk ADABI, tetapi juga menjadi satu daripada platform untuk mengasah kemahiran komunikasi menerusi sesi ulasan resipi masakan masing-masing dengan menggunakan bahasa Melayu. Istilah dalam bidang kulinari juga dapat disampaikan menerusi program ini.
Tambah beliau,
“Pelibatan ADABI dalam program ini memberikan ruang kepada DBP untuk memperluaskan jaringan kerjasama kebahasaan dengan sektor swasta, sekali gus menambah nilai ekonomi bahasa kebangsaan dalam sektor berkenaan.”

Pentas Pengulas Cita Rasa telah disertai oleh dua pasukan yang mewakili Kelab Rukun Tetangga, MSU College Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir dengan masing-masing tiga pasukan, dan dua pasukan dari Pusat Asasi STEM, Universiti Malaysia Terengganu. Setiap pasukan telah berjaya menampilkan kepelbagaian cita rasa dan kreativiti dalam penyediaan menu.
Naib johan Pentas Pengulas Cita Rasa dirangkul oleh pasukan dari Kelab Rukun Tetangga Telaga Daing, Kuala Terengganu, manakala tempat ketiga dimenangi oleh pelajar Kulinari dari MSU College Kuala Terengganu. Tiga hadiah sagu hati dimenangi oleh Pusat Asasi STEM, Unversiti Malaysia Terengganu, SMK Kompleks Seberang Takir (KOMSTAR) dan MSU College Kuala Terengganu.
Pertandingan ini telah dinilai oleh Pengurus ADABI (M) Terengganu Sdn. Bhd., YBrs. Encik Zaidi Abdul Rahman; Ketua Promoter ADABI (M) Terengganu Sdn. Bhd., YBrs. Puan Norisharzuraina Mohd Isa; dan penyampai radio Terengganu FM, YBrs. Puan Fiza Azra Ahmad. Penjurian dibuat secara profesional berdasarkan lima kriteria utama, iaitu rasa dan keseimbangan hidangan, kreativiti dan inovasi, persembahan hidangan, kebersihan serta pematuhan tema.