Diterbitkan pada 26 Mei 2026, 12:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sepang – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama-sama Pusat Jagaan Harian Orang Kurang Upaya (OKU) Tunku To’ Puan Nor Mazini memperkukuh usaha pemerkasaan bahasa Melayu menerusi pelaksanaan kajian lapangan berfokus yang berlangsung kelmarin.

Kajian tersebut memberikan penekanan terhadap perkembangan bahasa sebagai asas komunikasi dan terapi, di samping mengenal pasti keperluan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dalam aspek pengurusan diri, tingkah laku dan kesejahteraan psikososial.

Kajian yang sedang dijalankan bersama-sama seorang kanak-kanak OKU.

Kajian tersebut turut menekankan peranan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi, pendidikan dan terapi bagi membantu perkembangan emosi, sosial dan kognitif kanak-kanak OKU.

Menurut Pengurus Pusat Jagaan Harian OKU Tunku To’ Puan Nor Mazini, Puan Nurlina binti Mohd Ismail, pusat jagaan dan terapi yang berdaftar di bawah Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) itu melaksanakan pendekatan holistik yang memberikan fokus terhadap pembangunan komunikasi bahasa, pengurusan tingkah laku, pengurusan diri dan pembangunan spiritual bagi membentuk keyakinan diri serta kebolehan berdikari anak OKU tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu amat penting sebagai asas komunikasi harian dan medium pembelajaran yang membantu meningkatkan keyakinan diri serta interaksi sosial anak-anak OKU.

Pengarah projek kajian lapangan UIAM, Ayuni Maisarah binti Abdul Radak @ Abdul Razak berkata, bahasa Melayu bukan sekadar medium penyampaian ilmu, malah berfungsi sebagai instrumen terapi komunikasi yang dapat membantu perkembangan emosi, sosial dan kognitif kanak-kanak OKU.

“Melalui pendekatan pembelajaran dan terapi berasaskan Bahasa Melayu yang sesuai dengan tahap perkembangan pelajar, kanak-kanak OKU dapat membina keyakinan diri, meningkatkan interaksi sosial serta memahami arahan dan emosi dengan lebih baik. Bahasa menjadi jambatan utama dalam proses pembangunan diri mereka,” jelas beliau.

Kanak-kanak OKU sedang mengikuti terapi dengan bantuan pelajar UIAM.

Beliau turut menambah bahawa penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan dalam pendidikan khas berpotensi memperkukuh proses pembelajaran bahasa dan komunikasi anak-anak OKU melalui pembangunan bahan interaktif, aplikasi terapi bahasa serta modul digital yang lebih mesra pengguna dan inklusif.

Kerjasama ini dijangka menjadi asas terhadap pembangunan intervensi, modul terapi bahasa, latihan guru dan penyelidikan lanjutan, sekali gus menyokong pemerkasaan bahasa Melayu dan kesejahteraan golongan OKU di Malaysia.

Di samping itu, inisiatif ini turut membuka ruang pemindahan ilmu dan manfaat berterusan kepada komuniti setempat selari dengan aspirasi pendigitalan pendidikan, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi, serta peningkatan kesejahteraan golongan OKU di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi