Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur telah menganjurkan program “Citra Bahasa: Metafora Cerminan Pemikiran Aras Tinggi Masyarakat Melayu” dalam usaha memperkukuh apresiasi terhadap kehalusan bahasa Melayu melalui penghayatan metafora sebagai wahana pemikiran, budaya dan identiti bangsa.bertempat di Dewan Utama, Kompleks Guna Sama, UMK.
Program Citra Bahasa: Metafora Cerminan Pemikiran Aras Tinggi Masyarakat Melayu ini menampilkan tokoh linguistik negara, YBhg. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin sebagai pembicara.
Dalam sesi perkongsian ilmiahnya, beliau menghuraikan tentang peranan metafora sebagai manifestasi pemikiran aras tinggi masyarakat Melayu yang terbentuk melalui pengalaman, pemerhatian dan interaksi dengan alam sekeliling.

Ujar beliau,
Metafora bukan sekadar bunga bahasa. Di sebaliknya tersimpan proses kognitif yang memperlihatkan cara masyarakat Melayu memahami dunia, menilai pengalaman dan membentuk makna. Keupayaan mencipta metafora menunjukkan kecerdasan akal, kreativiti serta kebijaksanaan yang menjadi asas terhadap pembinaan tamadun sesuatu bangsa.
Menurut beliau lagi, kajian linguistik moden membuktikan bahawa metafora memainkan peranan penting bagi pembentukan pemikiran manusia kerana konsep abstrak sering difahami melalui pengalaman yang bersifat konkrit.

Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, YBrs. Prof. Madya Dr. Kamarulzaman Abdul Ghani dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua institusi untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan.
Jelas beliau,
Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi ini telah membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, budaya dan pembangunan negara.

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail dalam ucapan perasmiannya menyifatkan bahawa program tersebut sebagai platform penting untuk mendekatkan masyarakat khususnya generasi muda dengan keindahan dan keunikan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu amat kaya dengan khazanah pemikiran. Melalui metafora, masyarakat Melayu menzahirkan pengalaman hidup, nilai budaya serta kebijaksanaan mereka dalam bentuk yang halus dan bermakna. Oleh itu, usaha mengangkat aspek ini perlu diteruskan agar generasi muda dapat memahami bahawa bahasa ialah warisan intelektual yang mesti dipelihara dan dimartabatkan.
Penganjuran program ini turut bertepatan dengan usaha berterusan DBP untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan tinggi, pentadbiran awam, penyelidikan dan komunikasi digital. Dalam era globalisasi dan ledakan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI), bahasa Melayu berhadapan dengan cabaran baharu seperti pencampuran kod, dominasi bahasa asing dalam ruang digital serta kecenderungan penggunaan bahasa yang tidak baku dalam media sosial.
Sehubungan dengan itu, DBP giat melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penerbitan ilmiah, pengayaan istilah baharu, pengukuhan korpus bahasa, pembangunan teknologi bahasa serta penganjuran program kesedaran bahasa bagi memastikan bahasa Melayu terus relevan sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi utama negara.
Usaha tersebut selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja menguasai pelbagai bahasa, tetapi tetap menjunjung bahasa Melayu sebagai lambang jati diri, perpaduan dan kedaulatan negara.