16 Mac 2021, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR: Ekoran keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengecualikan kelulusan kepujian mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac 2021 dalam sidang medianya baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat. Banyak pihak yang terkejut dengan keputusan yang diambil oleh PDRM itu, terutamanya dalam kalangan pencinta dan pendukung bahasa negara ini.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

Menurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tindakan mengecualikan kelulusan kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu itu bukan keputusan yang betul. Kelonggaran syarat seperti itu adalah antara punca Dasar Bahasa Kebangsaan tidak mantap, walaupun sudah lebih 60 tahun negara merdeka. Tambah beliau lagi, terdapat motivasi lain yang lebih wajar dan munasabah untuk membuka peluang kepada kaum bukan bumiputera itu.

Menerusi kenyataannya di Facebook, beliau juga menegaskan bahawa setiap warganegara patut bersedia untuk berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara tanpa syarat. Syarat untuk menjadi warganegara yang baik ialah kesediaan berkhidmat kepada negara. Demikian maklum balas beliau susulan laporan media yang mengatakan bahawa mana-mana individu bukan Bumiputera yang tidak memperoleh kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu boleh memohon jawatan Konstabel PDRM.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, mengatakan bahawa kelonggaran syarat itu diberikan bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac 2021. Walau bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan itu perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu pada peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus subjek itu dengan kepujian.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din sewaktu berucap pada sidang media di Bukit Aman.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.