27 Januari 2022, 11:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penetapan kriteria jati diri yang menjadi teras kepada keperibadian bangsa dapat dikenal pasti menerusi hasil pemerhatian orang sekeliling terhadap perilaku dan ucapan yang ditunjukkan oleh masyarakat tersebut. Dengan kata lain, tanda diri kepada bangsa tersebut agar dapat dibezakan dengan bangsa lain. François Vallentijn (1712) menyifatkan bangsa Melayu sebagai:

Orang yang sangat cerdik, sangat pintar dan manusia yang sangat sopan di seluruh Asia. Orang Melayu terkenal dengan orang yang pemalu, apalagi seorang perempuan akan mencerminkan budaya timur yang pemalu dan sopan dalam bersikap dan bertingkah laku.

Kata kunci utama melalui pernyataan ini adalah berkenaan adab. Secara dasarnya, dalam institusi keluarga, adab merujuk amalan yang berkesinambungan dengan pendidikan asas agama yang mencakupi ruang lingkup zahir dan batin dan disampaikan oleh golongan tua kepada yang muda agar setiap perkara yang dilakukan dan dituturkan mempunyai modul panduan hidup. Seiring dengan itu, acap kali kita mendengar ungkapan “pelajarilah adab sebelum mempelajari ilmu” kerana orang yang berjaya sudah pasti orang yang kaya dengan adab.

Adab dalam berbahasa ialah suatu kaedah yang mendidik individu untuk bergaul dan berefleksi pada aktiviti tersebut. Kadang kala situasi ini melibatkan dua atau lebih individu berkomunikasi tentang suatu topik sama ada yang telah dirancang mahupun yang terbit secara spontan.

Tidak dinafikan dalam hal ini, keterbukaan penilaian akan berlaku sama ada yang bersifat objektif atau subjektif yang mampu memberikan kesan jangka panjang kepada individu tersebut. Dengan mengambil contoh, situasi temu duga kerja yang mana adab dalam berbahasa sangat ditekankan sebagai satu daripada kriteria pemilihan pekerja.

Selain itu, adab dalam berbahasa ini dapat dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu memberikan hikmah kepada kerukunan masyarakat majmuk di Malaysia. Antara kesan yang nyata termasuklah mewujudkan persefahaman, hormat-menghormati, dan melahirkan rasa tanggungjawab sosial untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan bersama yang dapat mengelakkan syak wasangka dan ketidakpuasan hati yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Interaksi kerukunan yang telah terbina sekian lama ini perlu dipelihara dengan mengekalkan adab berbahasa bagi menyemarakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, peredaran zaman telah membawa transformasi kepada adab dalam berbahasa sesebuah masyarakat. Menerusi pengamatan, kelihatannya krisis adab dalam berbahasa semakin membimbangkan kerana generasi kini lebih cenderung memilih dan menggunakan perkataan yang tidak melambangkan jati diri bangsa yang unggul dan tulen bagi mencerminkan keagungan bangsa dan negaranya.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan perkataan yang dipilih terutamanya oleh golongan muda adalah tidak molek dan tidak enak didengar atau dengan kata lainnya menggunakan kata-kata yang mencarut dan berirama kasar. Misalnya, perkataan bebal, bodoh, bongok, mampus dan sial. Perkataan itu bukan sahaja terungkap secara lisan namun juga dalam bentuk tulisan.

Buktinya menerusi satu insiden mengejutkan yang berlaku pada tahun 2020, di mana lukisan mural gambar Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan dan pemimpin lain diconteng dengan kata-kata kesat yang menunjukkan hilangnya adab berbahasa kepada pemimpin. Istilah ini seakan-akan akrab dan dianggap mesra dalam berkomunikasi dan mampu menghidupkan suasana sosial yang baik dan berkesan walaupun situasi tersebut kelihatan aneh dan tidak lazim didengar.

Selain itu, setiap lapisan masyarakat sudah semestinya mempunyai kata panggilan tertentu bagi membezakan pangkat, pertalian dan faktor usia untuk  mengelakkan kecelaruan semasa menggunakannya. Kata panggilan yang lazim digunakan adalah seperti cik, encik, mak cik, pak cik, saudara, saudari, tuan dan puan mengikut kesesuaian konteks persekitaran.

Melalui pemerhatian, menjadi trend anak muda sekarang mengikuti hasil video lakonan pelakon amatur menerusi saluran Youtube dan video pendek ini dapat dikatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kandungannya mempunyai pelbagai tema yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat serta kaya dengan kreativiti yang membantu mengangkat kepopularan pelakon amatur yang terlibat.

Dari sudut positifnya, perkara ini sangat membantu perkembangan industri kreatif. Namun begitu, sedikit kegusaran timbul tentang pemakaian bahasa atau lontaran dialog yang digunakan oleh sebahagian pelakon video yang tidak menitikberatkan adab dalam berbahasa terutamanya kata panggilan yang digunakan kepada orang yang lebih tua, misalnya dengan menggunakan panggilan seperti ‘”kau”.

Kata ganti nama “kau” atau “engkau” ini berbentuk kasar dan seelok-eloknya digunakan kepada rakan sebaya, rakan karib tetapi tidak ditujukan kepada orang lebih tua kerana perkataan ini boleh menyinggung perasaan individu tersebut. Nik Safiah Karim mengatakan bahawa bentuk ini dianggap sebagai bentuk yang digunakan oleh orang yang rendah kedudukannya atau yang kurang menerima ajaran tatatertib. Sekiranya tidak kena pada tempatnya akan menimbulkan perselisihan dan kekeruhan hubungan.

Pandemik Covid-19 sememangnya banyak memberikan kesan mendalam kepada semua aspek kehidupan. Begitu juga halnya dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat membangun dan menjadi suatu kehendak masyarakat pada ketika ini. Dalam aspek pendidikan, secara totalnya menggunakan platform moden bagi memudahkan penyampaian pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

Namun begitu, di sebalik kemajuan medium penyampaian tersebut sebenarnya telah memundurkan adab dalam berbahasa khususnya berkomunikasi dengan para pendidik. Para pelajar dikatakan sudah hilang rasa hormat dan tidak menggunakan ayat sopan semasa menghantar atau membalas WhatsApp dan Telegram kepada guru mereka. Ini suatu perkara yang membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana golongan inilah yang bakal menjadi pemimpin negara suatu masa nanti.

Kekhuatiran ini juga berpanjangan apabila melihat perkembangan bahasa di media masa yang rata-ratanya gagal menerapkan adab berbahasa dengan baik. Sebahagian netizen yang terdiri daripada pelbagai umur ini langsung tidak sensitif, membuat komen tanpa tapisan dan cenderung kepada mempromosikan keaiban yang kelihatannya seperti suatu konflik adab kepada golongan netizen tersebut.

Timbul persoalan di sini, adakah kerana golongan ini terlalu leka ditemani oleh robot atau mesin teknologi yang menyebabkan ketidakpedulian kepada pelbagai bentuk emosi individu atau juga sekadar mencari hiburan dan ingin melampiaskan tekanan yang dihadapi kepada orang lain tanpa memikirkan akibatnya?

Tepatlah peribahasa Melayu yang menyebut bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan tentang adab dalam berbahasa ini perlu dilakukan ketika awal usia kanak-kanak lagi dan janganlah mengambil ringan hal ini kerana kelalaian akan memberikan banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Beberapa berita secara dalam talian melaporkan kes berkenaan kegagalan adab dalam berbahasa yang tidak mengira usia seperti “Budaya Biadab Resapi Anak Muda” (Berita Harian), “Suri Rumah Didenda RM9000 Hina Yang Di-Pertuan Agong dalam Facebook” (Utusan Malaysia) dan  “Padah Hina Agong di Facebook, Lelaki Ditahan Polis” (mStar).

Bagi menyelesaikan masalah ini, sememangnya memerlukan prakarsa daripada pelbagai pihak. Didikan secara menghukum adalah suatu perkara yang merugikan dan langkah yang perlu diambil adalah dengan berbalik semula kepada fitrah kehidupan beragama yang mementingkan adab secara holistik dan tidak menganggap bahawa adab dalam berbahasa hanya diperjuangkan oleh masyarakat ortodoks semata-mata.

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!