30 Mac 2022, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beijing − Kementerian Luar Negeri Malaysia sedang memfokuskan promosi Diplomasi Kebudayaan melalui Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di Luar Negara (Malawakil), menerusi Program Pengantarabangsaan Bahasa dan Persuratan Melayu. Usaha ini selari  dengan aspirasi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, agar bahasa Melayu dimartabatkan di peringkat antarabangsa.

“Tindakan ini juga selaras dengan Kerangka Dasar Luar Negara Malaysia yang telah menetapkan peranan Malawakil untuk menggalakkan dan menyelaraskan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan bahasa Melayu”, ujar TYT Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin, Duta Besar Malaysia ke China pada 29 Mac 2022 di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Raja Dato’ Nurshirwan juga berkata, majlis penyerahan buku-buku berbahasa Melayu pada hari ini merupakan pemantapan bagi usaha menyokong peranan yang dimainkan oleh tenaga pengajar Pengajian Melayu di institusi pendidikan di China.

Penyerahan buku berbahasa Melayu kepada wakil CUC.

Majlis ilmu ini penuh bermakna dengan sesi penyerahan buku-buku berbahasa Melayu kepada universiti-universiti di China yang telah disempurnakan oleh TYT Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin, Duta Besar Malaysia ke China. Yang menariknya, selain majlis penyerahan buku-buku berbahasa Melayu yang melibatkan dua buah universiti di Beijing, iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) dan Universiti Komunikasi China (CUC), juga diadakan sesi memperkenalkan sajian kuih-muih Malaysia.

Majlis ini telah diselaraskan oleh Pejabat Pendidikan Malaysia Beijing dan telah dihadiri oleh Prof. He Jing, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa BFSU, Prof. Shu Xiaomei, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa CUC, para pensyarah Pengajian Melayu di BFSU dan CUC serta pegawai-pegawai di Kedutaan.

Negara China juga menyambut baik usaha pihak Kedutaan Malaysia dan pihak universiti yang sentiasa mengalu-alukan sebarang bantuan dan sokongan bagi usaha pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di China.

Menurut Ts. Abdul Aziz How Abdullah, Pengarah Pendidikan Malaysia Beijing, inisiatif penyerahan buku-buku berbahasa Melayu ini merupakan usaha awal dari pejabat Pendidikan Malaysia Beijing dan mendapatkan sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Hasil komitmen dan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan China, serta kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, akhirnya bekalan buku-buku tersebut telah selamat sampai ke China dan diterima dengan baik oleh pihak universiti.

Usaha pengembangan dan pemantapan Bahasa Melayu di China sentiasa menjadi keutamaan Kedutaan Besar Malaysia di China dengan terus menyokong keperluan dan bantuan bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang diperlukan oleh institusi pendidikan di China.

Di China, lebih kurang 15 buah universiti mempunyai program bahasa Melayu dan Pengajian Melayu, yang tenaga pengajarnya terdiri daripada 36 orang pensyarah dari China dan sembilan orang pakar dari Malaysia. Sebanyak 446 orang mahasiswa dan mahasiswi China sedang mengikuti program tersebut, manakala jumlah lepasan jurusan Bahasa Melayu telah mencecah kepada 800 orang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.