Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Hampir 70 peratus golongan remaja tidak memahami konsep penggunaan bahasa Melayu secara rasmi atau tidak rasmi. Anak muda seolah-olah hilang jati diri dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan mereka. Demikian penjelasan Munsyi Dewan (Bahasa), Profesor Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, dari Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau berkongsi beberapa pandangannya kepada pelayar media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi segmen Tutur Kita: “Bahasa Berwibawa Martabat di Mercu” sebentar tadi yang ditemani oleh moderator, Encik ‘Azimin Daud.
Tokoh Bahasa Melayu yang banyak menghasilkan buku ilmiah perundangan dalam bahasa Melayu ini mengajak pelayar untuk sama-sama menzahirkan kecintaan terhadap bahasa Melayu. Secara peribadi, beliau turut terkesan dengan sebilangan remaja yang masih lagi tidak memahami penggunaan bahasa Melayu dalam konteks rasmi atau tidak rasmi.
Menurutnya, berkaitan dengan isu bahasa, DBP seolah-olah mengambil tanggungjawab penuh untuk memartabatkan bahasa Melayu di mercu.
Dalam isu bahasa, kita tidak boleh meletakkan satu beban ke atas DBP. DBP merupakan organisasi yang membantu kita dalam usaha menyebarluaskan bahasa. Beban untuk memartabatkan bahasa bukan diletakkan kepada DBP semata-mata, sebaliknya suka atau tidak, semua orang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa. Untuk menjadi warganegara yang baik, selain mempunyai kad pengenalan, kita juga perlu berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Orang yang tidak berbahasa Melayu dengan baik tidak layak menjadi warganegara ini. Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan jika kita tidak boleh berbahasa Melayu, kita tidak layak menjadi warganegara ini.
Beliau secara sinis menempelak warganegara ini yang sepatutnya malu kerana tidak tahu berbahasa Melayu berbanding dengan warga asing yang datang ke negara ini. Katanya, warga asing yang datang ke negara ini sudah mampu bertutur dalam bahasa Melayu dalam tempoh tiga bulan tetapi warganegara Malaysia yang sudah tinggal di negara ini lebih dari 60 tahun masih lagi tidak boleh berbahasa Melayu dan keadaan ini amat memalukan. Mereka bukan tidak boleh bertutur bahasa Melayu, tetapi mengambil sikap tidak mahu bertutur dalam bahasa ini.
Jelasnya, antara “tidak boleh” dengan “tidak mahu” merupakan dua perkataan yang berbeza. Tidak boleh bermaksud tidak mampu dan agak mustahil warganegara ini tidak mampu bertutur dengan baiknya. Jika mereka tidak mahu bermaksud mereka memang tidak hendak berbahasa Melayu, ibarat “hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”.
Dalam hal ini, apa-apa yang berlaku lebih kepada hendak seribu dalih, iaitu sengaja memberikan alasan bahawa bahasa Melayu sukar dituturkan sedangkan sebaliknya kerana sering dituturkan oleh orang ramai. Semua orang boleh bercakap tetapi selalu orang memberikan alasan tidak tahu bercakap dalam bahasa. Masalah ini bukan berpunca daripada bahasa tetapi datangnya daripada sikap individu.
Katanya, apabila ingin memartabatkan bahasa Melayu bukan bermaksud kita meminggirkan bahasa Inggeris, bahkan bahasa kedua ini juga penting tetapi dalam konteks negara ini perlu difahami bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Maka itu, suka atau tidak, sebagai warganegara kita mesti mengutamakan bahasa kebangsaan, terutama dalam urusan rasmi.
Rakyat negara ini wajib menggunakan bahasa kebangsaan. Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan, Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta, dan peruntukan bahasa kebangsaan dalam pelbagai jenis undang-undang. Bagi penjawat awam, mereka tertakluk pada pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam yang semuanya menuntut penggunaan bahasa kebangsaan.
Ada orang beranggapan bahawa apabila seseorang itu bertutur dalam bahasa Inggeris, statusnya akan dipandang tinggi berbanding dengan orang yang bercakap dalam bahasa Melayu. Inilah persepsi yang dapat dikesan terutama ketika mengikuti mesyuarat yang menggunakan bahasa Inggeris sedangkan mereka warganegara Malaysia.
Dalam hal ini, apakah keperluan bercakap dalam bahasa Inggeris, sekiranya ahli mesyuarat mampu memahami bahasa Melayu? Mesyuarat yang dijalankan dalam urusan rasmi yang menggunakan bahasa Inggeris tidak sah kerana mesyuarat rasmi perlu dijalankan dalam bahasa kebangsaan. Selain itu, status kita tidak ditentukan oleh bahasa. Sebaliknya status kita ditentukan oleh nilai dan pembawaan diri. Kalau kita dalam kalangan orang yang berilmu, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk, bukan mengikut resmi jagung, makin berisi makin tegak. Orang yang berilmu tidak menunjuk pandai kepada orang lain, sebaliknya semakin berilmu, semakin berhemah tinggi dan berbudi pekerti.
Oleh itu, jika kita menggunakan bahasa Inggeris secara berlebihan, perlu diingat bahawa keturunan kita tidak akan berubah. Keturunan kita tetap berkulit sawo matang kekal sebenarnya, iaitu India kekal India, Melayu kekal Melayu, dan keluarga Sumatera kekal Sumatera. Walaupun pada hari ini kita boleh bercakap Inggeris, keturunan kita tidak akan berubah menjadi British. Inilah realitinya, berpijaklah di bumi yang nyata.
Di samping itu, pertuturan kita perlu disesuaikan mengikut keselesaan masyarakat setempat untuk kepentingan bersama. Jika kita bertutur dengan orang kampung, gunalah loghat bahasa yang sesuai dan lebih mudah difahami oleh mereka. Penggunaan bahasa Inggeris dibenarkan mengikut konteks dan kesesuaian dan keperluan setempat. Jika kita tidak tahu berbahasa, belajarlah kerana “belakang parang jika diasah lagikan tajam”. Orang yang tidak pandai jika diajar lama-kelamaan akan menjadi pandai. Oleh itu, tiada alasan untuk tidak mempelajari bahasa.
Dalam konteks pemartabatan bahasa Melayu, walaupun bahasa ibunda saya bukan bahasa Melayu, saya pencinta bahasa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan saya mempunyai tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa. Bukan saya sahaja yang bertanggungjawab, semua warganegara juga bertanggungjawab.
Menurutnya, walaupun usaha yang dilakukannya itu kecil, usaha itu sebenarnya akan memberikan makna terhadap perkembangan bahasa. Dari dahulu hingga kini, terdapat usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu. Baru-baru ini, terdapat semangat baharu dalam usaha menjadikan bahasa ini sebagai bahasa kedua ASEAN. Usaha y ang baik ini tidak mampu digalas oleh DBP bersendirian tanpa kerjasama daripada semua pihak. Penerapan semangat bahasa ini perlu dimulakan dari rumah. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Anak perlu didedahkan dengan penggunaan bahasa sejak dari rumah lagi. Tidak salah bertutur dalam bahasa ibunda tetapi perlu ada jati diri untuk mencintai bahasa kebangsaan.
Begitu juga dengan pendidikan di sekolah, jati diri cinta akan bahasa Melayu perlu disemai. Memang benar terdapat pengajaran bahasa Melayu dari peringkat sekolah rendah hingga universiti, tetapi mata pelajaran atau kursus Bahasa Melayu ini tidak menerapkan semangat jati diri bahasa kebangsaan. Bagi saya, program ke arah jati diri bahasa Melayu perlu diadakan atau digiatkan lagi. Kita bukan sahaja mengajar bahasa Melayu, bahkan perlu menerapkan nilai jati diri bahasa Melayu dengan penuh semangat. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung dengan memartabatkan bahasa Melayu.