10 Oktober 2023, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YBrs. Ts. Dr. Siva a/l Rabindarang, Ketua Jabatan Teknologi Awam, Kolej Vokasional Slim River, Perak, diangkat sebagai Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan bagi tahun 2023.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek dalam Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023, yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu pada pagi tadi.

Penganugerahan tersebut merupakan satu daripada usaha kementerian untuk melestarikan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dan pelibatan menyeluruh warga sektor pendidikan serta jabatan dan agensi di bawahnya.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek menyampaikan sijil penganugerahan Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan 2023 kepada YBrs. Ts. Dr. Siva a/l Rabindarang di IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

Menerusi ucapan beliau dalam perasmian majlis tersebut, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa semua pihak harus ada keberanian dan kebanggaan dalam menuturkan bahasa kebangsaan. Jelasnya lanjut,

Bahasa Melayu mesti diutamakan dalam kehidupan seharian. Pembudayaan, pengukuhan dan pemartabatan bahasa Melayu perlu sentiasa dilaksanakan dan diterapkan agar generasi akan datang dapat menghayati kesantunan bahasa Melayu.

Pada majlis yang sama juga, beliau menyarankan agar aktiviti dan program berkaitan yang dengan pemartabatan bahasa Melayu dilaksanakan pada peringkat komuniti yang lebih kecil, terutamanya di desa dan di kampung.

Aktiviti dan program yang berkaitan dengan bahasa Melayu juga perlu diadakan pada peringkat komuniti yang kecil. Program seperti perkampungan bahasa, perkampungan pantun dan perkampungan puisi boleh dibuat dalam komuniti tersebut agar bahasa Melayu terus diperkukuh dan dibudayakan.

Sementara itu, Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan 2023, YBrs. Ts. Dr. Siva a/l Rabindarang ketika ditemui berkata, antara usaha yang dilakukan beliau bagi melayakkan dirinya menerima anugerah tersebut termasuklah membangunkan sembilan modul pembelajaran dalam bahasa Melayu.

Pencapaian beliau dalam inovasi pendidikan selain sering menjadi pakar rujuk, panel penilai, juri, hakim, fasilitator dan pembimbing bahasa Melayu turut menjadi nilai tambah yang melayakkan dirinya dinobatkan sebagai Tokoh Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan 2023.

Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan 2023, YBrs. Ts. Dr. Siva a/l Rabindaran.

Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak menyatakan bahawa anugerah tersebut didedikasikan kepada Pengarah Kolej Vokasional Slim River, dan semua rakan sekerjanya.

YBrs. Ts. Dr. Siva a/l Rabindarang bersama dengan rakan sekerjanya dari Kolej Vokasional Slim River, Perak.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa penerapan pemartabatan bahasa Melayu perlu ditambah baik dari peringkat awal lagi untuk menambahkan kecintaan terhadap bahasa Melayu. Ujarnya,

Penerapan tersebut perlu dilaksanakan pada peringkat yang lebih awal seperti pada peringkat prasekolah dan sekolah rendah. Kadang-kadang kita terlalu fokus pada peringkat yang lebih tinggi sedangkan peringkat bawah yang lebih penting. Apabila diterapkan semangat dan penggunaan bahasa Melayu pada peringkat bawah, saya percaya bahawa pastinya perkara itu akan diteruskan pada peringkat yang lebih tinggi, seperti pada peringkat sekolah menengah dan universiti.

Beliau yang juga sering menulis pelbagai rencana dan artikel dalam bahasa Melayu menyatakan bahawa pada mulanya beliau menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi kini  beliau sering menulis dalam bahasa Melayu dan akan meneruskan penulisan tersebut agar bahasa Melayu dapat terus dimartabatkan.

Selain penganugerahan tersebut, pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan bagi memberikan peluang kepada warga pendidikan untuk menguji kebolehan dan kecekapan mereka dalam penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Antara aktiviti yang telah dijalankan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan bagi tahun 2023 termasuklah Forum Bahasa Melayu, Pertandingan Pengucapan Awam, Bengkel Pemerkasaan Tulisan Jawi dan Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi.

Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023 turut diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Tuan Haji Shafruddin Haji Ali; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Tuan Haji Azman Adnan; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Johari Hassan; dan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu, YBrs. Puan Nor Asilah Osman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.