Oleh Suyuthi Yusuf
10 Oktober 2023, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Saya pulangkan segera surat yang ditulis kepada saya dalam bahasa Inggeris”, tegas Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek semasa berucap dalam Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023, yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu pada pagi tadi.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyatakan komitmen beliau dalam memartabatkan bahasa Melayu dengan menyatakan bahawa beliau menolak surat yang ditulis kepada beliau dalam bahasa Inggeris.

Beliau turut menyatakan bahawa komitmen dan usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu perlu dilakukan oleh semua pihak. Hal ini termasuklah dalam urusan surat-menyurat yang berkaitan dengan kementerian, terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Harus ada keberanian dan kebanggaan dalam menuturkan bahasa kebangsaan. Jika ada surat yang datang kepada saya dalam bahasa Inggeris, saya akan pulangkan segera, kecuali jika surat tersebut daripada pihak luar negara.

Selain menegaskan perkara tersebut, beliau turut mengimbas kembali bagaimana beliau sangat menghargai lagu Bahasa Jiwa Bangsa.

Sejak di bangku sekolah, saya sudah mendengar lagu Bahasa Jiwa Bangsa. Lagu ini sangat membekas dalam diri saya hingga ke hari ini. Liriknya memberikan saya kefahaman dan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Buku tulisan mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Hassan Ahmad yang bertajuk Imbasan, disentuh dalam ucapan perasmian oleh YB Fadhlina Sidek.

Beliau turut menyentuh sebahagian isi kandungan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditulis oleh mantan Ketua Pengarah DBP, iaitu Dato’ Dr. Hassan Ahmad yang bertajuk Imbasan. Buku tersebut merupakan kumpulan tulisan yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

Buku ini merupakan tulisan yang sangat berharga tentang pengalamannya dalam mengurus isu-isu yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.