Oleh Mai
6 September 2022, 23:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kudat –Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diberikan mandat untuk mengembangkan, mengukuhkan dan memantapkan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi. Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu memang tidak dapat disangkal lagi kerana mampu mengungkapkan ilmu tinggi dan menjadi asas ketamadunan bangsa. Bahasa Melayu merupakan bahasa perantara dalam kalangan masyarakat, justeru kemahiran dan kemampuan menggunakan bahasa Melayu dengan betul perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Hal ini penting agar penyampaian maklumat daripada satu pihak kepada pihak yang lain lebih jelas, tepat dan mudah difahami.

Sehubungan dengan itu, oleh sebab kuasa memantau kesalahan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan di tempat awam, penamaan jalan, bangunan dan taman perumahan terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), maka DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Lembaga Bandaran Kudat, Pejabat Daerah Kudat, telah menganjurkan Wacana Penegasan Bahasa yang berlangsung pada pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang, di Dewan Gimnasium, Pejabat Daerah Kudat yang melibatkan 50 peserta seluruh PBT di negeri Sabah. Wacana sehari ini disertai oleh pegawai eksekutif, wakil PBT setiap daerah, dan kakitangan Pejabat Daerah Kudat.

Puan Fadhilah Ab. Bahar, wakil Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, sewaktu menyampaikan taklimat yang berkaitan dengan penguatkuasaan bahasa berharap agar seluruh ahli PBT yang hadir dapat meningkatkan lagi permohonan secara dalam talian untuk semakan iklan, sepanduk, tirai latar dan seumpamanya melalui aplikasi dbpsahbahasa.my. Taklimat ringkas selama dua jam ini dikongsikan dengan paparan kesalahan iklan yang sering kali digunakan oleh pelanggan dan statistik permohonan semakan iklan oleh PBT mengikut daerah di seluruh negeri Sabah.

Peserta wacana yang hadir mendapat banyak input berguna.

Sementara itu, wacana bahasa diteruskan lagi oleh penceramah undangan, Encik Abd. Karim A. Bakar, Munsyi Dewan dengan slot “Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa”. Beliau berpengalaman dalam mengendalikan ceramah bahasa, penulisan surat, memo, minit mesyuarat dan dokumen rasmi kerajaan. Beberapa kesalahan bahasa yang lazim digunakan oleh penjawat awam dalam dokumen rasmi disampaikan secara santai telah menarik minat para peserta kursus ini. Beliau turut berkongsi pengalamannya semasa berkhidmat selama 37 tahun di DBP tentang penataran bahasa, penulisan dokumen rasmi Kerajaan, dan kesantunan bahasa sejak tahun 1995.

Objektif wacana ini diadakan adalah untuk menyebarluaskan keperluan menggunakan bahasa Melayu untuk paparan awam dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi selaras dengan Perkara 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Selain itu, wacana ini juga untuk menyedarkan masyarakat akan peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.

Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Dalam majlis penutupan wacana tersebut, Encik Rusdi Awang, Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah turut memberikan ucapan. Menurutnya, usaha memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di negeri Sabah turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai pihak.

‘Sekebat bagai sirih’ dan demikianlah diibaratkan jalinan kerjasama yang sedia terjalin sekian lama antara DBP Cawangan Sabah dengan PBT, penulis, persatuan penulis, agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera dan budaya kebangsaan. Hal ini tidak akan dapat kami jayakan dengan cemerlang tanpa kerjasama erat ini yang diibaratkan bagai tebing bergantung ke aur dan  demikianlah juga kita.

Tuan Haji Bakri Haji Nanun, Pegawai Daerah Kudat.

Wacana sehari ini mencapai matlamatnya dan diakhiri dengan majlis penutupan yang dirasmikan oleh Tuan Haji Bakri Haji Nanun, Pegawai Daerah Kudat. Menurut beliau, kecenderungan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul memperlihatkan penghargaan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu.

Bahasa memperlihatkan jati diri sesebuah negara, dan Malaysia sebagai negara yang sudah memperakukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak sepatutnya berlaku kerancuan bahasa dalam paparan umum seperti iklan, sepanduk, tirai latar, penamaan bangunan, tempat dan seumpamanya.

Para peserta wacana merakamkan foto kenangan bersama-sama Pegawai Daerah Kudat, penceramah undangan dan urus setia program.

 

Encik Rusdi Awang semasa menyampaikan cenderamata kepada Tuan Haji Bakri Haji Nanun, Pegawai Daerah Kudat.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!