Oleh Mazlina Ahmad
7 September 2022, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terengganu –Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) mengambil inisiatif untuk sama-sama terlibat dalam usaha pemerkasaan bahasa Melayu di luar negara dengan menempatkan pensyarah Bahasa Melayu di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) bermula pada bulan September 2022.

HUFS merupakan sebuah universiti yang telah diiktiraf sebagai institusi terbaik untuk pendidikan bahasa asing di Korea dari tahun 2018 hingga kini dan berada di kedudukan universiti ketiga terbaik di dunia dalam pendidikan bahasa. HUFS menawarkan program Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi Bahasa Melayu–Bahasa Indonesia selama empat tahun dengan beberapa kursus wajib bahasa Melayu–bahasa Indonesia.

Penulis bersama-sama YBhg. Prof. Dr. Kim Jang Gyem, iaitu Ketua Jabatan Penterjemahan dan Interpretasi Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia ketika mengadakan perbincangan.

Usaha murni UMT ini juga selari dengan satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia. Kerjasama ini dilihat dapat memperluas kursus bahasa, budaya dan warisan negara di luar negara. Oleh itu, UMT amat berbesar hati untuk menyokong usaha-usaha murni kerajaan dalam merancakkan lagi perkembangan bahasa Melayu di luar negara dengan menghantar para pensyarah yang berperanan sebagai duta kecil Malaysia di luar negara.

UMT turut menggalakkan para pensyarahnya untuk sama-sama merealisasikan dasar Kementerian Luar Negara (KLN) yang menetapkan peranan Atase Pendidikan dan Kebudayaan di kedutaan sebagai agen promosi pendidikan dan kebudayaan Malaysia di luar negara melalui program peminjaman staf ke agensi luar.

Selain itu, UMT juga mendukung hasrat murni Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di universiti awam dalam dan luar negara. Antara objektif pelan ini adalah untuk meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Melayu dengan mengantarabangsakan Malaysia sebagai pusat rujukan tentang ilmu alam Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.