Oleh Azrin Eddy
8 September 2022, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabal Satu sesi Pemugaran Bahasa dalam Penulisan Dokumen Rasmi berjaya dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) di Sudut Penulis, Kompleks DBP Cawangan Sabah. Sesi ini merupakan antara usaha yang dilakukan oleh DBPCS untuk memantapkan kemahiran karyawannya dalam aspek penyediaan dokumen rasmi, khususnya aspek bahasa. Sebanyak 30 orang peserta menghadiri sesi ini yang menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), iaitu Encik Abd Karim A Bakar sebagai pembimbing sesi.

Ucapan alu-aluan oleh Puan Aminah Awang Basar (Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah).

Sesi Pemugaran Bahasa dimulakan pada pukul 9.00 pagi dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah, DBPCS, iaitu Puan Aminah Awang Basar. Menurut beliau, ilmu yang dimiliki oleh Encik Abd Karim A Bakar perlu dikongsi kepada masyarakat agar lebih banyak pakar bahasa Melayu dapat dilahirkan.

Pelaksanaan sesi ini amatlah signifikan kerana banyak staf baharu DBPCS yang terdiri daripada golongan muda perlu diberi pendedahan mengenai penulisan dokumen rasmi kerana DBP dikenali sebagai pentadbir bahasa Melayu.

Encik Abd Karim A Bakar memberikan latihan penataran bahasa Melayu kepada para peserta.

Dalam sesi tersebut, peserta juga diberikan latihan penataran bahasa Melayu untuk mengasah pengetahuan bahasa terutamanya dari segi penggunaan ejaan yang betul. Menurut Encik Abd Karim A Bakar, beliau memandang perkara ini sebagai aspek yang perlu diberi perhatian kerana boleh menimbulkan kekeliruan terhadap penggunaannya di peringkat negara jika tidak dibendung dari awal.

Sebagai karyawan DBP, masyarakat umum memandang kita dengan tinggi dan menjadikan kita sebagai agen bahasa Melayu. Justeru, kita mesti memiliki pengetahuan yang mantap dan tuntas mengenai penggunaan bahasa Melayu baku, bukan sahaja dari segi wacana bahkan juga penulisan.

Usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermula daripada penggunaan bahasa Melayu yang betul pada semua aspek dan peringkat dalam kehidupan seharian. Ungkapan “Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa” sering kali diucapkan oleh para karyawan DBP termasuklah para pendidik bahasa Melayu di setiap institusi pendidikan. Hal ini menunjukkan betapa beratnya tanggungjawab yang dipikul untuk memastikan penguatkuasaan bahasa Melayu yang menyeluruh di seluruh Malaysia. Namun begitu, usaha ini perlu dilakukan secara berterusan kerana terdapat banyak lagi masyarakat umum yang kurang tahu atau tidak peka terhadap penggunaan bahasa Melayu baku.

Para peserta Sesi Pemugaran Bahasa dalam Penulisan Dokumen Rasmi bergambar kenangan bersama-sama Pengarah DBPCS dan pembimbing.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.