24 September 2022, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Menepati hasrat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk meletakkan bahasa kebangsaan ke peringkat dunia dan memenuhi aspirasi kerajaan dalam menentukan hala tuju negara dalam pembentukan jati diri golongan belia yang cinta akan bahasa Melayu, Duta Bahasa negeri Melaka 2022 edisi pertama telah dinobatkan kepada Zaid Roslan.

Kemenangan tersebut melayakkan Zaid Roslan membawa pulang wang tunai bernilai RM2000.00, plak, sijil dan hadiah iringan. Naib johan pula disandang oleh Nur Atiqah Mohd. Jani manakala Muhammad Syazwan Shamsudin menduduki tempat ketiga. Masing-masing menerima wang tunai RM1000.00 dan RM700.00 berserta plak, sijil dan hadiah iringan. Tiga peserta lain pula menerima hadiah sagu hati yang masing-masing menerima wang tunai RM300.00, plak, sijil dan hadiah iringan.

Terdahulu, buat julung-julung kalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) menjejaki bumi Hang Tuah bagi program Pencarian Duta Bahasa (PDB) negeri Melaka. Projek perintis ini telah dihebahkan semenjak bulan Julai 2022 dan mendapat sambutan dalam kalangan belia kelahiran negeri Melaka atau yang berkhidmat dan bermastautin di negeri Melaka.

PDB bermatlamat untuk mencungkil bakat dan keterampilan serta kepimpinan belia dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan, apresiasi seni dan pengucapan awam. Sebanyak 10 orang calon Duta Bahasa daripada pelbagai latar belakang dan kecenderungan telah terpilih ke pentas akhir. Duta Bahasa ini akan diketengahkan untuk menjadi sebahagian daripada “suara” DBP dan membantu DBP untuk menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Encik Zaid Roslan dinobatkan sebagai Duta Bahasa Negeri Melaka 2022.

 

Puan Nur Atiqah Mohd Jani, naib juara Duta Bahasa Negeri Melaka 2022.
Tempat ketiga disandang oleh Muhammad Syazwan Shamsudin.

Pencarian Duta Bahasa mendapat kerjasama yang padu daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Pusat Sumber Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jemaah Nazir dan Pembangunan Kualiti Melaka dan Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka. Penjurian tetap dimandatkan kepada panel hakim profesional yang mewakili 60 peratus jumlah markah manakala penilaian juri awam mewakili 40 peratus pemarkahan.

Lafaz Ikrar Setia Bahasa dilafazkan oleh tetamu yang hadir ketika majlis perasmian Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Melaka.

Menurut Pengarah DBPWS, Encik Mohd Riduwan Wahab, PDB ini dirancang untuk dilaksanakan pada setiap tahun dan berkesinambungan dengan program susulan lain bagi membugarkan dan memberikan ilmu tambah dan informasi terkini kepada semua finalis PDB.

Bersempena dengan program ini juga telah diadakan pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Melaka. Majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Wira Zaidi Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, merangkap wakil rasmi YAB Datuk Seri Utama Dr. Haji Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka.

YB Datuk Wira Zaidi Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, merangkap wakil rasmi YAB Datuk Seri Utama Dr. Haji Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menggalakkan wakil rakyat agar terlibat sama dalam menjayakan apa-apa apresiasi bahasa dan persuratan Melayu yang dilaksanakan oleh mana-mana agensi sebagai tanda sokongan kepimpinan negara ke peringkat akar umbi.

Antara inisiatif DBK termasuklah memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang mencakupi pelbagai bidang dan sektor di Malaysia. Dalam tempoh sedekad inilah juga bahasa Melayu akan diantarabangsakan menjadi satu daripada bahasa utama di ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.