7 November 2022, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagi mengenang jasa dan sumbangan Pak Asraf terhadap perkembangan bahasa  dan persuratan Melayu, Majlis Bingkisan Pak Asraf: Pejuang Bahasa dalam Kenangan, telah berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada petang tadi.

Mohd. Asraf Haji Wahab atau lebih dikenali dengan panggilan mesra, Pak Asraf merupakan tokoh bahasa yang tidak asing lagi dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu, khususnya dalam aspek tatabahasa. Beliau banyak menyumbang dalam pemerkasaan dan persuratan bahasa Melayu sejak tahun 1950-an hingga akhir hayatnya. Sumbangan beliau yang besar ini melayakkan dirinya diberi pengiktirafan dengan Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Sepanjang Masa oleh Persatuan Linguistik Malaysia dan Public Bank Berhad.

Dalam majlis penuh nostalgia itu, Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said turut sama menghargai usaha dan sumbangan Pak Asraf yang terus mekar hingga kini. Beliau yang juga penulis dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS ’50) berharap agar majlis seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memperingati dan menghargai jasa pejuang bahasa terdahulu.

Walau bagaimanapun, beliau berasa bimbang terhadap kelestarian kesusasteraan bahasa Melayu yang semakin dilupakan oleh generasi baharu. Beliau meluah bicara, iaitu:

Hari ini kita bicara tentang apa erti kesusasteraan, dan saya kira kesusasteraan kita semakin merosot.

 

Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said berharap agar generasi akan datang dapat menyambung legasi peninggalan Pak Asraf.

Beliau turut memetik kata-kata daripada Allahyarham Pak Asraf yang menitipkan pesanan untuk beliau meninggalkan khazanah sastera yang berharga dan khazanah tersebut haruslah ditambah baik oleh generasi pada masa akan datang.

Begitu juga dengan Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang turut berkongsi kisah Allahyarham Pak Asraf melalui satu daripada bab dalam buku yang bertajuk, Hasrat Tokoh Bahasa, Raja Tanpa Mahkota. Buku tersebut menjelaskan perihal Allahyarham Pak Asraf yang merupakan tokoh awal yang memulakan penyatuan bahasa Melayu yang diformalisasikan menerusi Majlis Bahasa Melayu Indonesia–Malaysia (MBIM) dan kemudian diperluas menjadi Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia (MABBIM). Allahyarham juga banyak membuat rumusan sendiri dalam tatabahasa Melayu.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menggunakan buku tulisan Pak Asraf sebagai buku rujukan di universiti.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menggunakan buku tersebut dalam pengajiannya di universiti.

Saya memanfaatkan koleksi tulisan beliau dengan tidak bergantung pada buku universiti kerana buku beliau sendiri jauh lebih lengkap.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed turut menambah bahawa tokoh bahasa itu bertanggungjawab untuk memantapkan tatabahasa, kosa kata dan istilah. Beliau merafakkan rasa syukur terhadap majlis yang berlangsung dan berharap agar majlis tersebut dapat membawa banyak manfaat kepada umum supaya pejuang bahasa terus dikenang dan dihargai akan segala pengorbanan mereka.

Haji Mohd. Salahuddin berharap agar majlis memperingati jasa Pak Asraf dapat memberikan manfaat yang besar kepada orang awam.

Mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Firdaus Abdullah yang berucap dalam majlis ini turut berkongsi pengalamannya. Menurut beliau, sebelum tertubuhnya PENA dan GAPENA, terdapat sebuah persatuan, iaitu Kumpulan Budi Utama (Kubu) yang ditubuhkan oleh Allahyarham Pak Asraf.

Beliau turut mengakui bahawa Allahyarham seorang yang berbudi pekerti mulia dan  isterinya amat baik, peramah dan mesra orangnya. Beliau berkongsi pengalaman menariknya tentang Pak Asraf, iaitu:

Abang Asraf turut memberikan kepercayaannya kepada saya untuk menterjemahkan sebuah buku sebagai satu kesempatan sehingga saya dapat menterjemahkan sebuah buku yang berjudul, Pending Permata.

Buku terjemahan Pending Permata (Red Wind yang ditulis oleh Shamus Frazer) merupakan karya kreatif berkisarkan kisah penyiasatan yang diterjemahkan oleh beliau pada tahun 1961 ketika beliau belajar di tingkatan empat. Menurutnya, atas kepercayaan yang diberikan oleh Pak Asraf juga beliau membuat kerja terjemahan dua buah cerpen daripada buku Koleksi Antologi Cerpen Jepun (Shoji) dan sebuah lagi buku karya kreatif terjemahan berjudul Pendeta Kuil Shiga dengan Keberahiannya.

Datuk Firdaus Abdullah tidak mudah melupakan budi baik Pak Asraf dan isterinya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.