14 November 2022, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Sebanyak 20 orang pelajar sekolah rendah dan menengah telah berentap di pentas akhir Sayembara Deklamasi Puisi bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kelantan, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) baru-baru ini. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah pula telah disempurnakan oleh Puan Ariza Haji Che Ismail, Pengarah DBPWT. Yang turut hadir memeriahkan program ialah Encik Zainal Abidin Muhammad (Ketua 1 GEMA).

Dalam ucapannya, Puan Ariza menggesa agar penganjuran sayembara ini dimantapkan dan dibawa ke platform yang lebih besar agar bakat-bakat baharu dalam program deklamasi puisi dapat dicungkil. Beliau juga berharap agar sayembara ini akan terus bertapak dengan menggalakkan pelajar mencipta dan mendeklamasikan sendiri puisi yang dihasilkan, khususnya puisi dalam bidang sains dan teknologi. Usaha ini dapat menggalakkan para pelajar menggunakan bahasa dan istilah yang betul dan pada masa yang sama menyebarkannya menerusi platform sastera.

Beliau menyifatkan acara sastera (deklamasi puisi) menunjukkan perkembangan yang sangat positif apabila mendapat penyertaan khalayak peserta daripada pelajar aliran sains, teknikal dan vokasional.

Tambah beliau, program ini amat wajar dilaksanakan bagi menyambung usaha pengembangan dan pemasyarakatan sastera melalui pendeklamasian puisi yang amat sinonim dengan masyarakat Wilayah Timur khususnya di negeri Kelantan.

Menurut beliau, program ini juga dapat menjadi tapak latihan dan penunjuk utama terhadap kualiti persembahan deklamasi puisi. Sehubungan dengan itu, wadah yang selama ini sudah dibina dan diperakui keberkesanannya dengan kerjasama persatuan penulis tempatan dalam pengembangan sastera kepada masyarakat haruslah disokong.

Seorang peserta sayembara sedang mendeklamasikan puisi.

Sementara itu, johan Kategori Sekolah Menengah telah dimenangi oleh Nur Syauqina Mazlan (SMK Dato’ Perdana). Naib johan dan tempat ketiga pula diraih oleh Naeema Natasya Puteri Mohd Ghazali (SMK Pengkalan Chepa) dan Wan Mayzatul A’isyah Wan Hazman (Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu).

Yang turut memenangi hadiah tempat keempat hingga keenam untuk kategori ini ialah Wan Arif Farhan Azhar (SM Sains Tengku Faris Petra), Adam Muhammad Shardy (Kolej Vokasional Pengkalan Chepa), dan Nur Syifaa’ Nadiah  Mohd Mazdi (SMK Agama Naim Lilbanat Kota Bharu).

Sebanyak empat hadiah sagu hati menjadi milik Muhammad Azim Ab. Latif (SMK Dato’ Perdana), Muhammad Dinie Aieman Mohd Zuwairimuzri Adha (SM Sains Tengku Faris Petra), Nur Izzah Zulfah Ab. Manah (SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas) dan Muhammad Isyraf Ajwad Adnan (SMK Agama Melor).

Penyampaian hadiah kepada pemenang.

Bagi Kategori Sekolah Rendah pula, Syarifah Muzfirah Syed Akmal (SK Islah, Kota Bharu) telah dinobatkan sebagai johan, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh Muhammad Bukhari Mohd Ilman (SK Buloh Poh, Kota Bharu), dan Nurul Aimy Insyirah Muhammad (SK Penambang).

Pemenang hadiah keempat hingga keenam terdiri daripada Muhammad Soleh Zikrie Mohd Shakirurahman (SK Pak Pura), Amna Naleysha Maizu (SK Sungai Terah) dan Wan Nur Syahirah Wan Aziz (SK Perala).

Hadiah sagu hati pula menjadi milik Adam Hadif Anaqi Mohd Ezham (SK Islah), Aufa Faizah Mohd Nor Hashri (SK Islah), Mohd Aqil Wadihan Yuswardi (SK Raja Bahar) dan Nur Aini Suffiyah (SK Kubang Kerian 3).

Terdahulu, penganjuran sayembara ini telah dicetuskan oleh DBPWT dan GEMA sejak tahun 2001 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. Tujuannya adalah untuk menyokong usaha pemartabatan bahasa dan sastera kebangsaan yang dilaksanakan di bawah geran Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Bulan Bahasa Kebangsaan, Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan dan yang terkini Dekad Bahasa Kebangsaan.

Dalam tempoh 21 tahun, program ini menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh pelajar sekolah dan mendapat penyertaan ratusan pelajar saban tahun. Program ini juga telah banyak melahirkan para deklamator tempatan yang menembusi acara pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui pelbagai peringkat umur sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan etnik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.