19 Disember 2022, 18:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Munsyi Dewan berperanan besar dalam usaha untuk memastikan dasar bahasa kebangsaan di negara ini terus berlangsung dengan jayanya. Antaranya termasuklah  dalam memupuk penggunaan sistem bahasa yang tepat, cocok, dan sesuai dengan penggunaan tatabahasanya. Demikian antara ucapan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Munsyi Dewan (Bahasa) 2021, 2022 dan Munsyi Dewan (Sastera) 2022 di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP pada petang tadi.

Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan DBP atas kejayaan calon-calon yang terpilih untuk ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) dan Munsyi Dewan (Sastera). Penerima Sijil Pentauliahan terdiri daripada tujuh orang Munsyi Dewan (Sastera) 2022, dua orang Munsyi Dewan (Bahasa) 2022 dan 24 orang Munsyi Dewan (Bahasa ) 2021. Mereka yang terlibat adalah dari pelbagai negeri dan latar belakang pendidikan serta pekerjaan seperti penulis puisi, tenaga pengajar, timbalan dekan universiti, wartawan, staf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan lain-lain.

Munsyi Dewan ialah penceramah bahasa Melayu yang dilantik oleh DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu di sektor awam dan swasta. Peranan ini bermula sejak tahun 1995 dan diteruskan sehingga kini untuk mewujudkan pakar rujuk bahasa Melayu bagi membantu DBP dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah membantu DBP dalam menjayakan program kebahasaan, kesusasteraan, dan penerbitan pada peringkat daerah, negeri, kementerian, dan jabatan kerajaan serta swasta.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berharap agar Munsyi Dewan dapat mengembangkan ilmu bahasa, sastera dan Jawi kepada masyarakat dengan lebih efisien dan penuh komitmen.

Dalam ucapannya, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berharap agar Munsyi Dewan dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada bahasa, sastera dan Jawi supaya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan dengan jayanya.

Tambah beliau, semua orang harus menghayati dan melibatkan diri dalam kegiatan sastera termasuklah mengikuti program sastera seperti dalam penulisan puisi, cerpen, drama dan sebagainya. Sastera juga perlu dimasyarakatkan kerana sesuatu masyarakat itu tidak mungkin dapat maju tanpa mengangkat sastera.

Sastera juga merupakan wadah dalam menyebarluaskan ilmu dalam pelbagai bidang. Manakala Jawi pula merupakan akar budaya tamadun Melayu dan juga akar tamadun negara. Tulisan Jawi turut menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara.

YBrs. Dr. Akhimullah Abdullah antara penerima Sijil Pentauliahan Munsyi Dewan (Bahasa) 2021.

Sementara itu, penerima Sijil Pentauliahan Munsyi Dewan (Bahasa) 2021, iaitu YBrs. Dr. Akhimullah Abdullah, yang merupakan seorang guru di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bersetuju dengan cadangan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan supaya kelas bahasa Melayu diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Itu satu langkah yang baik untuk memastikan bahasa Melayu dapat dirakyatkan kembali dalam kalangan masyarakat Malaysia termasuklah di peringkat DUN dan Parlimen. Hal ini demikian kerana pada hari ini penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat itu sendiri agak berkurangan disebabkan oleh desakan daripada bahasa-bahasa asing.

YBrs. Dr Junaini Kasdan.

Menurut seorang lagi penerima sijil pentauliahan Munsyi Dewan (Bahasa) 2021, iaitu YBrs. Dr Junaini Kasdan (Ketua Jaminan Kualiti Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia), setiap wakil rakyat perlu mempunyai kemahiran berbahasa Melayu. Hal ini penting bagi memenangi hati masyarakat kerana mereka perlu menggunakan bahasa yang difahami oleh semua golongan termasuklah warga tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak. Jelas beliau:

Kadang-kadang kita dapati bahawa ada dalam kalangan mereka yang sebutannya tidak betul atau penulisan dalam bahasa Melayunya salah termasuklah penggunaan tanda baca yang salah.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan.

Sementara itu, menurut YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan, iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah DBP, dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan bahawa Munsyi Dewan adalah digalakkan untuk menjadi ahli Rakan DBP dengan bayaran keahlian hanya sebanyak RM10 sahaja seumur hidup. Beliau turut mencadangkan supaya Bahagian Akademi DBP mengadakan kembali muzakarah atau konvensyen Munsyi Dewan yang sudah beberapa lama tidak diadakan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera), ketua-ketua bahagian DBP, para penerima sijil pentauliahan, staf DBP dan para tetamu undangan.

Antara penerima Sijil Pentauliahan Munsyi Dewan 2021/2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.