Oleh Azrin Eddy
31 Januari 2023, 21:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bengkel Umum Perolehan Majalah e-Wadah dan Asas Penyuntingan Gaya Dewan telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Unit Penerbitan (UP), Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) semalam. Bengkel ini merupakan hasil kerjasama antara pihak DBPCS dengan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bengkel yang dihadiri oleh 43 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Tahun 3 Program Seni Kreatif Major Penulisan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada bakal editor mengenai aspek bahasa dalam penulisan dan penyuntingan Gaya Dewan, di samping berkongsi maklumat mengenai peluang penerbitan di DBPCS. 

Penyunting atau editor merupakan orang tengah antara penulis dengan pembaca. Sesuatu karya yang dianggap biasa akan tampil hebat jika manuskrip tersebut ditangani oleh editor yang berilmu tinggi serta berpengalaman luas dalam dunia penyuntingan dan penerbitan. Peranan editor dalam bidang penerbitan bukan sekadar menguasai aspek bahasa dalam penulisan, tetapi membantu menghasilkan karya yang bermutu serta mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

Semua peserta bengkel ini terdiri daripada bakal editor yang berhasrat untuk memantapkan lagi kemahiran bahasa dan ilmu penyuntingan. Minat dan iltizam yang ditunjukkan oleh mereka menggambarkan bahawa nilai bahasa dan ilmu penyuntingan dalam kalangan generasi muda di negara ini masih mendapat sambutan yang positif.

Taklimat Umum Penerbitan disampaikan oleh Puan Noorzanani Haji Kata.

Ketua UP, DBPCS, Puan Noorzanani Haji Kata telah memberikan Taklimat Umum Penerbitan dan ceramah bahasa yang bertajuk “Aspek Bahasa dan Penulisan: Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul”.

Tatabahasa merupakan salah satu aspek yang dititikberatkan dalam dunia penyuntingan. Justeru, bakal editor perlulah melengkapkan diri dengan pengetahuan bahasa dan menguasai sistem bahasa yang betul.

Ceramah Asas Penyuntingan Gaya Dewan disampaikan oleh Puan Azrin Eddy.

Sesi kedua bengkel yang bertajuk “Asas Penyuntingan Gaya Dewan” pula disampaikan oleh Puan Azrin Eddy. Para peserta diberi pendedahan mengenai asas penyuntingan dan persediaan yang perlu dilakukan sebelum membuat kerja penyuntingan. Praktikal penyuntingan turut dijalankan agar peserta bengkel dapat mengaplikasikan teknik penyuntingan yang betul.

Bakal editor juga diingatkan supaya menggunakan sumber bahan rujukan yang autentik untuk memastikan ketepatan fakta sesebuah karya sebelum dihantar untuk proses penerbitan yang seterusnya. Hal ini dikatakan demikian kerana editor bertanggungjawab untuk membuat pengesahan fakta agar tidak menyebarkan maklumat yang salah kepada pembaca. Oleh itu, DBPCS melihat kerjasama ini sebagai satu langkah untuk memastikan bakal editor membuat persediaan yang rapi sebelum melakukan kerja penyuntingan.

Para peserta Bengkel Umum Perolehan Majalah e-Wadah dan Asas Penyuntingan Gaya Dewan bergambar seusai program.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.