Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Kota Bharu – Kini pada setiap hari Isnin dan Rabu, pada pukul 8.10 pagi, pendengar dan pelayar Radio Malaysia KELANTANfm berpeluang mengikuti rancangan Peribahasa Pagi dan Ceria Bahasa. Kedua-dua rancangan ini adalah usaha sama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan. Objektif rancangan ini adalah untuk memberikan maklumat penggunaan bahasa yang betul dari segi ejaan, istilah, kata dan makna. Menerusi segmen Peribahasa Pagi, para pendengar dan pelayar radio dapat memahami makna sesebuah peribahasa dan konteks penggunaannya yang sesuai.
Menurut Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT, program di media elektronik dan media baharu seumpama ini wajar diadakan secara berterusan lantaran dewasa ini masyarakat kita khususnya generasi muda cenderung menggunakan bahasa yang salah dan pada masa yang sama mereka menganggap penggunaan bahasa tersebut betul.
Situasi ini kerap berlaku sama ada dalam komunikasi atau penulisan. Begitu juga dengan penggunaan ungkapan umum popular yang dianggap sebagai peribahasa turut digunakan secara meluas terutamanya di platform media baharu. Kelaziman yang dianggap betul ini tidak boleh dibiarkan kerana akan merosak imej bahasa kebangsaan.
Kedua-dua rancangan ini oleh juruhebah radio secara santai bersama-sama pendengar Radio KELANTANfm (secara interaktif melalui panggilan telefon). Sepanjang bersiaran pada Januari 2023, rancangan ini mendapat rating panggilan pendengar yang memberangsangkan serta berjaya mewujudkan ruang perbincangan dan perkongsian bahasa yang santai tetapi berinformasi.
Begitu juga dengan perkongsian dan komen di ruangan media sosial serta aplikasi WhatsApp, jumlahnya semakin meningkat setiap kali program ini bersiaran. Ada di antara mereka yang telah mula menggunakan perkhidmatan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk membuat rujukan bagi mendapat jawapan yang tepat ketika kedua-dua rancangan tersebut bersiaran. Perkembangan positif ini dilihat dapat mengembangkan lagi mutu penggunaan bahasa kebangsaan.
Pendengar atau pelayar di Malaysia atau seantero dunia boleh mengikuti rancangan ini melalui http://rtmklik.rtm.gov.my, radio negeri KELANTANfm.