Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Buat julung-julung kalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Kelantan (JPPM Kelantan). Kunjungan Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT itu disambut baik oleh Puan Dalila Diana Mohd Zaid, Pengarah JPPM Kelantan, serta beberapa orang pegawai daripada kedua-dua agensi tersebut.
Kerjasama yang bakal dirintis adalah untuk mendekatkan pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) dengan fungsi kedua-dua agensi ini, iaitu menjadikan setiap pertubuhan sebagai sebuah pertubuhan yang berkualiti, dan pada masa yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berusaha menarik penyertaan pelbagai NGO untuk bersama-sama mengambil peranan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Hasrat tersebut bakal direalisasikan menerusi program Wacana 152, yang dijangka akan diadakan pada 11 Mac 2023, dengan sasaran penyertaan sebanyak 500 orang ahli NGO di negeri Kelantan.
Menurut Puan Ariza Che Ismail, peranan NGO dalam menyantuni masyarakat sememangnya tidak boleh dinafikan. Banyak sumbangan dan peranan yang diberi oleh mereka termasuklah di sektor kerajaan, apatah lagi sekiranya sesebuah pertubuhan tersebut dikategorikan sebagai sangat berpengaruh dengan jumlah ahli dan pengikut yang banyak. DBP melihat kesepaduan tenaga, idea dan peranan NGO tersebut akan membugarkan lagi martabat bahasa kebangsaan. Bahasa Jiwa Bangsa.