Oleh Basirah Arifin
7 Februari 2023, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) semalam bagi memperkukuh kerjasama kebahasaan di sektor pendidikan bagi tahun 2023. Kunjungan hormat Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT itu disambut baik oleh Encik Mohd Hassany Hashim, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, JPNK. Yang turut hadir ialah beberapa orang pegawai daripada kedua-dua agensi tersebut.

Menurut Puan Ariza Che Ismail, JPNK merupakan satu daripada rakan sinergi yang telah dibina oleh DBPWT sejak tertubuhnya pejabat wilayah di Kota Bharu pada tahun 1999. Peranan jabatan ini yang bersama-sama DBPWT memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar dan guru amat besar sumbangannya.

Saban tahun, banyak program bahasa dan sastera yang merentas pelbagai lapisan pelajar dan guru diadakan. Kejayaan ini adalah hasil kesepaduan idea dan tenaga kedua-dua pihak. Antara program yang berjaya diadakan sepanjang tempoh tersebut termasuklah Semarak Bahasa, Karnival Bulan Bahasa, Pertandingan Sahibba, Pertandingan Pengucapan Berirama, Pertandingan Pengisahan Tokoh, Pantas Jawi, Program Pembinaan Bakat Tunas Muda dan Tunas Remaja, Pertandingan Deklamasi Sajak dan Penyampaian Syair, Dekad Bahasa Kebangsaan, Dekad Membaca Kebangsaan, Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bengkel Pemantapan Kesusasteraan Komunikatif.

Bagi memperkukuh pelaksanaan program bahasa dan sastera tahun 2023 di sektor pendidikan, satu Karnival Bahasa dan Sastera akan diadakan pada 20-21 Mei 2023, di Kota Bharu, dan dijangka akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia. Pengisian program ini akan merangkumi Semarak Jawi, Pertandingan Dikir Barat, Diskusi Bahasa, Pintar Bahasa, Cilik Bestari dan Forum Remaja.

Puan Ariza Che Ismail dan Encik Mohd Hassany Hashim bergambar kenangan ketika sesi kunjungan hormat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.