17 Februari 2023, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Buat pertama kalinya Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan kunjungan hormat ke Imedikel Pharma Holding Berhad, yang beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan. Pertemuan selama dua jam  itu diketuai oleh Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT, bersama-sama beberapa orang pegawai. Kunjungan itu disambut baik oleh Presiden Imedikel Pharma, Tuan Haji Yusmat Mamat dan Encik Azman Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif, bersama-sama Pengurusan Tertinggi Imedikel Pharma Holding Berhad.

Objektif kunjungan tersebut adalah untuk meningkatkan bilangan kerjasama DBPWT dengan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Imedikel merupakan sebuah syarikat yang berpengalaman luas dalam menghasilkan makanan tambahan, produk kosmetik, minuman kesihatan, vitamin, produk herba dan alat perubatan untuk kedai farmasi dan usahawan baharu di Malaysia dan khususnya di Kelantan dan Terengganu. Imedikel turut komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui pelbagai aktiviti kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut Tuan Haji Yusmat Mamat, mulai tahun 2023, Imedikel turut mengambil tanggungjawab dalam menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penganjuran Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Piala Imedikel. Tujuan progam itu adalah untuk melahirkan pelajar yang bijak berhujah dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu. Di samping itu, pihaknya turut menekankan penggunaan bahasa kebangsaan menerusi siaran TV Imedikel milik mereka.

Sementara itu, Puan Ariza pula menyifatkan usaha Imedikel wajar dicontohi oleh syarikat swasta yang lain. Kunjungan DBPWT pada kali ini membuahkan kejayaan apabila pihak Imedikel sudi merintis kerjasama dengan DBPWT bagi merealisasikan beberapa program bahasa. Antaranya termasuklah Kuiz Kesihatan menerusi slot Kayanya Bahasa Kita di Radio Malaysia KELANTANfm, dan memperkenalkan istilah dalam bidang sains kesihatan, farmasi dan sebagainya menerusi TV Imedikel.

Puan Ariza Che Ismail bersama-sama beberapa orang pegawai DBPWT dan  Imedikel Pharma.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.