11 Mac 2023, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu –Buat julung-julung kalinya sebanyak 78 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah berjaya dihimpunkan pada hari ini menerusi program Wacana 152, yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Kelantan di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini turut dijayakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, USM dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN).

Program Wacana 152 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dan turut dihadiri ialah Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamad (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), Puan Ariza Haji Che Ismail (Pengarah DBP Wilayah Timur), Puan Dalila Diyana Mat Zaid (Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Kelantan) dan Puan Enikartini Daud (Pengerusi Rancangan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM), yang mewakili Pengarah Kampus USM.

YBhg. Dr. Hazami dalam ucapan perasmiannya pula berkata, bagi menjamin kedaulatan bahasa kebangsaan di negara ini, semua pihak perlu bersama-sama dan berganding bahu dengan DBP.

DBP melihat peranan NGO juga harus dilibatkan. Peranan NGO dalam menyantuni masyarakat sememangnya tidak boleh dinafikan, terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kemiskinan, bantuan bencana alam dan sebagainya. Begitu juga dalam isu bahasa kebangsaan, DBP memerlukan NGO yang boleh menjadi suara dan penggerak dalam memupuk kesedaran masyarakat agar menghargai dan menjaga bahasa kebangsaan menerusi pelbagai wahana seperti kempen, promosi, kegiatan dan sebagainya.

Ucap utama Wacana 152 yang mengutarakan topik “Peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Pemartabatan Bahasa Kebangsaan pula telah disampaikan oleh Presiden PERADABAN, YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman.

Sementara itu, Puan Dalila Diyana Mat Zaid dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa program ini diadakan susulan kepada pendekatan kerajaan yang ingin mewujudkan segmen yang berkesan melalui platform kolaborasi dengan agensi berkepentingan bagi mempertingkatkan kualiti dan profesionalisme penyampaian sektor awam.

Yang lebih penting adalah memperlihatkan satu kesatuan buah fikiran bagi membangunkan lebih banyak jaringan kerjasama strategik pelbagai hala. Katanya lagi, program ini berupaya merealisasikan impian untuk memperkasakan bahasa kebangsaan melalui acara dan aktiviti yang melibatkan seluruh masyarakat.

Bagi program Wacana 152, ahli panel yang ditampilkan ialah YM Dr. Raja Shamri Raja Hussin (Abang Raja), yang merupakan Pengerusi Eksekutif, Yayasan Raja Shamri. Yayasan Raja Shamri merupakan sebuah pertubuhan yang diasaskan untuk memberikan inspirasi kemanusiaan kepada masyarakat dengan berbuat baik, mengajak semua berbuat baik dan meraikan kerja kebaikan dan kebajikan serta mempermudah penyampaian bantuan dengan cara telus dan terus tanpa protokol atau birokrasi supaya bantuan diterima dengan pantas demi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada golongan yang memerlukan.

Ahli panel lain pula ialah YBrs. Dr. Nor Hafidzah Mustakim dari Persatuan Pertubuhan PRIHATIN Kelantan, dan dua orang anak muda yang cukup dikenali serta aktif dalam bidang masing-masing, iaitu Encik Fendi Kenali dari Persatuan Kebajikan Anak Seni Kelantan (PAKATAN) dan Encik Muhammad Nur Azam Ghazali dari Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia Negeri Kelantan (MAYC). Wacana ini dikendalikan oleh Encik Roslan Abdul Rahman dari Persatuan Belia Asal Kelantan, selaku moderator.

Objektif program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada kumpulan NGO akan tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan serta menyediakan ruang kepada NGO untuk berkongsi pengalaman serta inisiatif yang telah dan bakal dilakukan oleh mereka dalam membantu usaha DBP dalam mengembangkan bahasa dan sastera.

Melalui program ini juga, NGO juga berpeluang mendapat pendedahan tentang peranan dan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bagi mewujudkan sebuah pertubuhan yang berkualiti.

Kesepaduan tenaga dan idea yang bakal dihulurkan oleh pelbagai NGO akan merancakkan lagi pelaksanaan program baharu untuk dimanfaatkan kepada seluruh lapisan masyarakat di Wilayah Timur.

Penyerahan cenderamata kepada panel.
Sesi wacana sedang berlangsung.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.