19 Mac 2023, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Selain membantu siswa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran menulis melalui pembacaan, penyelidikan dan pengumpulan fakta, Encik S. M. Zakir, Pemenang Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write) 2011 turut menyatakan bahawa minda kritis, faktual dan kreatif juga mampu dijanakan seseorang melalui penulisan rencana.

Menurut beliau, hal ini berlaku disebabkan proses menulis sebuah rencana yang menitikberatkan ketepatan dalam penyusunan idea, pemerengganan, penentuan arah penulisan, pengolahan dan kesimpulan, perkaitan dan urutan idea, serta penghuraian dan kritikan, yang mampu memunculkan idea baharu, pemikiran luas dan perdebatan sihat terhadap isu yang diketengahkan.

Katanya lagi, sebuah rencana yang baik, lengkap dan berkesan mempunyai pendahuluan, isi, kesan baik, kesan buruk, pendapat dan penutup.

Tambah beliau, penulis rencana disarankan agar memproses maklumat yang diperoleh secara kritis bagi mengesahkan kesahihan dan kredibiliti fakta yang dikongsi.

Antara langkah yang bijaksana untuk dilakukan termasuklah melakukan prapenulisan secara faktual, iaitu membuat fasa persediaan draf untuk menyusun isi penting, mengembangkan persoalan, menulis, mengkaji, menyemak dan mengemaskan penulisan, serta meminta pendapat orang lain tentang isu yang ditulis.

Penulisan yang dibuat juga perlu diolah secara kreatif bagi menjadikan sesebuah rencana itu menarik dan mudah difahami oleh pembaca sasaran.

“Bengkel penulisan seperti ini perlu diperbanyak untuk memberikan kesedaran dan memupuk minat membaca dan menulis kepada anak muda, terutamanya golongan siswa. Hal ini secara tidak langsung boleh menjadi sumber pendapatan kepada siswa pada masa hadapan,” ujar Puan Azyantee Mohd. Zawawi, seorang daripada pensyarah KIAS yang turut hadir sebagai peserta Bengkel Penulisan Rencana yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Akademik (PKA), Fakulti Pengurusan Teknologi Maklumat (FPTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Nusa Centre pada 18 Mac 2023 di Kota Bharu, Kelantan.

Seusai sesi teori tersebut, Encik Salman Sulaiman, Penerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 pula memberikan sesi bimbingan praktis penulisan rencana dalam kalangan peserta.

Menurut Puan Noorhanis Amran, perkongsian ilmu yang disampaikan secara teori dan praktikal sangat membantu dan membuka jalan, serta peluang kepada siswa untuk menghasilkan penulisan ilmiah dan deskriptif secara lebih baik dan berkesan.

Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Haji Wan Sulaiman Wan Yusoff, Dekan FPTM, KIAS. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan rasa kagum terhadap kejayaan anak bumi Kelantan seperti Encik S. M. Zakir dan Encik Salman Sulaiman dalam bidang penulisan tanah air. Beliau turut menggalakkan para siswa yang hadir untuk turut mengikut jejak langkah tokoh tersebut dalam bidang yang diminati.

Encik S.M. Zakir sedang berkongsi maklumat penulisan rencana dengan para peserta.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.