18 April 2023, 21:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Sebanyak 15 gerai daripada 77 gerai bazar Ramadan di Tapak Pasar Malam, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi telah terpilih dan menerima penghargaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Program Santun Bahasa, petang tadi.

Sebanyak 15 gerai yang menerima penghargaan tersebut ialah gerai Tepung Pelita 3 Puteri, Dapur Rendang, Cucur Udang, Kepak Ayam, Nasi Tomato, Man Java, Popia, Nasi Kenduri, Tepung Pelita NIR, Kambing Bakar, Pak Long Mi, Ara Cendol, Nasi Kukus Papa, Tepung Pelita Paya Jaras, dan Nasi Ayam Hainan.

Menerusi penghargaan tersebut, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP telah disampaikan kepada pemilik gerai oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; dan Pegawai Unit Audit dan Pemantauan DBP, Puan Nor Hamuni Ibrahim.

Program Santun Bahasa yang dilaksanakan ini adalah anjuran DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Perbandaran Kajang, yang bertujuan untuk memastikan masyarakat cakna akan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul melalui kaedah pemantauan.

Antara objektif program ini termasuklah untuk meneliti tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu di tempat awam dan memberikan penghargaan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul di tempat awam.

Untuk rekod, Program Santun Bahasa ini merupakan satu daripada usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan melaksanakan pemantauan bahasa dari semasa ke semasa.

Antara 15 gerai yang terpilih daripada 77 gerai dalam penilaian program Santun Bahasa di Bazar Ramadan,  Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.
Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari ketika ditemu bual oleh pihak media pada petang tadi.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Program Santun Bahasa ini merupakan satu tinjauan yang dibuat oleh DBP untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik di tempat awam. Tempat yang terpilih pada kali ini ialah di Bazar Ramadan, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi sebagai tinjauan pertama DBP yang merupakan tinjauan rintis.

Kita hendak memastikan agar peniaga gerai bertanggungjawab menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan bersopan santun. Memang kelonggaran dan kebenaran boleh diberi kepada mana-mana pihak untuk menamakan premisnya, tetapi menjadi tanggungjawab para peniaga khususnya untuk menghormati bulan Ramadan dengan menggunakan nama yang sesuai  dengan adat ketimuran dan kesopanan serta menghormati kesucian agama Islam terutamanya pada bulan Ramadan ini.

Katanya lagi, DBP boleh membantu para peniaga dalam hal bahasa kerana DBP mempunyai garis panduan yang mudah tentang cara untuk mencipta atau memberikan nama yang baik kepada premis perniagaan.

Saya faham akan hasrat peniaga yang ingin melariskan jualan tetapi sementara melariskan jualan tersebut, kita juga ada tanggungjawab terhadap agama, masyarakat, dan bahasa kebangsaan kita. Kita juga sangat menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik di semua tempat termasuklah di bazar Ramadan. Alhamdulillah, tinjauan awal mendapati bahawa sebahagian besar pengusaha makanan menamakan gerai mereka dengan nama yang baik dan kita berharap agar hal ini berlaku secara berterusan di bazar yang lain.

Selain itu, beliau turut berharap agar semua ahli masyarakat yang mengaku dirinya warganegara Malaysia bersama-sama mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

DBP tidak meminta mereka membayar apa-apa pun. Kita hanya meminta mereka menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik. Itu harapan kita. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memartabatkan bahasa kebangsaan khususnya di kawasan bidang kuasa mereka. Semoga pada tahun akan datang, aspek penamaan diberikan perhatian yang lebih dan DBP bersedia membantu semua PBT  menyediakan garis panduan penamaan yang baik untuk gerai ataupun nama juadah yang dijual khususnya pada bulan Ramadan.

Tambahnya, DBP juga berharap agar wujud rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya para peniaga untuk menggunakan bahasa yang baik.

DBP akan sentiasa berusaha untuk memastikan agar masyarakat menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik. Kita juga akan bekerjasama dengan semua pihak termasuklah PBT dan mana-mana pihak yang ada akses kepada kedaulatan bahasa kebangsaan. DBP akan memastikan agar pemerkasaan, pemartabatan dan kedaulatan bahasa kebangsaan akan terus dilakukan di seluruh negara.

Penyerahan cenderamata kepada pengusaha gerai yang terpilih oleh Ketua Pengarah DBP.
Penyerahan cenderamata oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YB Senator Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.