23 Jun 2023, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Bersempena dengan ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-67, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan sambutan ulang tahun Peringkat Wilayah Timur dengan pelbagai pengisian yang menarik. Sambutan ini diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGMKB) yang melibatkan sebanyak 450 orang peserta yang terdiri daripada rakan-rakan sinergi DBPWT yang telah bersama-sama dan sentiasa memberikan sokongan kepada DBPWT dalam melaksanakan kegiatan pengembangan bahasa dan sastera, khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu.

Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua rakan sinergi yang mewakili jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, persatuan, guru-guru dan para pelajar yang hadir menjayakan sambutan ulang tahun DBP ke-67 Peringkat Wilayah Timur. Beliau menyifatkan program ini sebagai suatu penghargaan kepada semua pihak yang selama ini bersama-sama menyokong usaha DBPWT mengembang dan memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan.

Yang turut hadir dalam sambutan ini ialah YBhg. Dr. Khairuddin Said, Pengarah IPGMKB, iaitu Encik Noor Azman Md Nawi, Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan Modal Insan), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Encik Hazimi Mohd Ghazali, Ketua Penolong Pengarah, Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan dan Encik Samsuring Meli, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu.

Sambutan selama setengah hari itu dimulakan dengan acara senam seni, persembahan gamelan dan kompang yang dikendalikan oleh para pensyarah dan pelajar IPGMKB. Yang turut tampil ialah barisan anak seni tempatan, iaitu Hafis Mustafa dan Along PM menerusi persembahan sketsa bahasa, persembahan dikir barat oleh Kumpulan Sound Kreatif dan nyanyian lagu puisi oleh Nasir Hassan. Tidak ketinggalan juga ditonjolkan bakat anak-anak muda menerusi acara deklamasi puisi dan dendangan syair.

Bagi membugarkan semangat kecintaan generasi muda terhadap bahasa kebangsaan, ditampilkan juga slot Bicara Bahasa oleh Encik Mohd Amin Abdullah, Mantan Pengarah Kewangan dan Pentadbiran. Kemuncak persembahan sambutan DBP ke-67 Peringkat Wilayah Timur pula menampilkan persembahan Pengucapan Berirama oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Chenderong Batu, Wakaf Bharu dan Persembahan Koir lagu Bahasa Jiwa Bangsa dan lagu Dewan Bahasa oleh bakal guru dari IPGMKB dan juga acara cabutan bertuah.

Penyampaian hadiah kepada pemenang oleh Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT.
Persembahan nyanyian oleh pelajar sekolah.
Perarakan masuk ke dewan untuk sambutan program (kiri) dan acara Senam Seni oleh para peserta.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.