Oleh Mai
5 Julai 2023, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tawau –Dalam konteks pengembangan bahasa dan sastera di negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sentiasa berusaha untuk bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan, persatuan penulis, serta orang perseorangan dalam memartabatkan kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan pengiktirafan dalam pelbagai ranah kehidupan.

Bahasa Melayu merupakan bahasa perantara dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia, justeru kemahiran dan kemampuan menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul perlu dipergiatkan. Jika usaha memartabatkan bahasa Melayu terletak di bahu DBP sahaja, sudah semestinya objektif penubuhannya tidak tercapai.

Oleh yang demikian, DBP Cawangan Sabah telah mengadakan pertemuan ringkas dengan wakil Majlis Perbandaran Tawau, yang juga merupakan seorang penulis di daerah Tawau, iaitu Dr. Mohd Hanip Haji Hassan dan Encik Zaki Harry Susanto, serta Encik Lee pemilik Syarikat K Bookstore, Tawau.

Pertemuan ringkas ini dinamakan sebagai “Silaturahim DBP-Tawau” yang diadakan pada 4 Julai 2023 di Restoran Resepi Bonda, Tawau bersempena dengan program Wacana Penegasan Bahasa.

Antara objektif pertemuan ini termasuklah untuk membincangkan program yang dapat dijalinhubungkan demi memartabatkan bahasa kebangsaan, penerbitan dan kesusasteraan di Sabah.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah (kanan) merakam foto kenang-kenangan bersama-sama Dr. Mohd Hanip Haji Hassan, penulis buku Perkembangan Kanak-kanak: Apa yang Anda Perlu Ketahui.        
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.