10 Julai 2023, 20:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Nerus, Terengganu –  Pertandingan Forum Remaja menjadi platform terbaik buat pelajar untuk meningkatkan keupayaan berhujah dan berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa kebangsaan, serta pada masa yang sama dapat meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Demikian antara inti pati ucapan Encik Kamsah@ Kamal Mohamed, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu bersempena dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Terengganu 2023

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan pula, Puan Ariza Che Ismail menyifatkan penyertaan para pelajar dalam gelanggang pertandingan ini menunjukkan iltizam dan semangat ingin berjaya, sekali gus mencerminkan sikap positif pelajar untuk menjadi terus cemerlang.

Sebanyak enam pasukan pelajar sekolah menengah telah berentap dalam Pertandingan Akhir Forum Remaja Peringkat Negeri Terengganu 2023 yang telah diadakan pada hari ini di SMK Agama Dato’ Haji Abbas, Kuala Nerus, Terengganu.

Program tahunan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur ini turut mendapat kerjasama padu daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN ) Terengganu dan SMK Agama Dato’ Haji Abbas, selaku tuan rumah.

Tempat pertama berjaya dijulang oleh pasukan SMK Agama Dato’ Haji Abbas, yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1000.00. Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik pasukan SMK Tengku Intan Zaharah dan SMK Agama Wataniah, masing-masing membawa pulang wang tunai RM700.00 dan RM500.00.

Hadiah sagu hati pula dibawa pulang oleh pasukan dari SMK Paka, SMK Badrul Alam Syah dan SMK Tengku Mahmud dengan nilai hadiah berjumlah RM300.00 untuk setiap pasukan.

Pasukan SMK Agama Dato’ Haji Abbas meraih kejayaan berganda apabila pelajarnya, Ahmad Afif Zahran Ahmad Azran telah dinobatkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik dan Sharifiza Farisha Hasnan sebagai Ahli Forum Terbaik.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Encik Amir Husin Ali @ Mat Ali (Pengetua SMK Dato’ Haji Abbas), Encik Mohd Fairuz Salim (Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, JPN Terengganu), barisan pengurusan SMKA Dato Hj. Abbas, dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus.

Tempat pertama milik pasukan SMK Agama Dato’ Haji Abbas.
Ahmad Afif Zahran Ahmad Azran telah dinobatkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik.
Sharifiza Farisha Hasnan dinobatkan sebagai Ahli Forum Terbaik.
Tempat kedua dimenangi oleh pasukan SMK Tengku Intan Zaharah.
SMK Agama Wataniah mendapat tempat ketiga.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.