23 Ogos 2023, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gambang –Baru-baru ini berlangsungnya Program Dirgahayu Malaysiaku yang merupakan satu daripada aktiviti kebahasaan yang dilaksanakan bersempena dengan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan (MSDBKSP) Tahun 2023.

Tema “Bahasa Jiwa Bangsa” untuk program tersebut telah menarik minat pelajar Kolej Matrikulasi Pahang untuk sama-sama melaksanakan aktiviti kebahasaan dan persembahan kebudayaan.

Para pelajar kolej tersebut begitu aktif melakukan pelbagai aktiviti termasuklah Kuiz Kenegaraan. Kuiz ini diadakan untuk memupuk semangat patriotisme, meningkatkan pengetahuan am dan merangsang pelajar dalam aktiviti membaca dan pengetahuan tentang sejarah Malaysia.

Selain itu, mereka juga menyertai Pertandingan Menulis Puisi Melayu (Gurindam) yang turut dijalankan untuk mencungkil bakat terpendam pelajar, selain membina keyakinan dan keberanian untuk berhadapan dengan khalayak.

Pengarah Kolej Matrikulasi Pahang, iaitu Puan Latiza A.Latif, turut hadir memberikan sokongan dan dukungan yang amat padu bagi memastikan program ini terlaksana dengan baik. Beliau amat berpuas hati dengan kelancaran program tersebut. Ujarnya,

Jika diberi peluang sekali lagi, Kolej Matrikulasi Pahang sedia bekerjasama dengan DBP dan DPMP untuk menganjurkan program berbentuk sastera dan program memartabatkan bahasa Melayu.

Katanya lagi, gerakan sastera dan bahasa Melayu wajar mengambil kedudukan yang strategik dengan perencanaan yang kreatif dan imaginatif untuk memperkukuh perpaduan masyarakat Malaysia MADANI.

Menurut beliau, karya sastera yang halus olahannya tetapi kuat ideologinya perlu disuburkan dan dijadikan sarana pembinaan sahsiah anak muda. Dalam kata lain, sastera dan bahasa Melayu harus diberi tempat yang sewajarnya dalam membina jati diri dan ideologi membina “Bangsa Malaysia MADANI”.

Sementara itu, penyelaras program, iaitu Encik Nasrul Isyam Abdul Hamid pula berharap agar sastera dan bahasa Melayu terus menjadi wahana dalam membentuk perpaduan nasional bangsa Malaysia tercinta.

Sementara itu, aktiviti lain yang turut diadakan ialah forum yang bertemakan “Bahasa Melayu Asas Perpaduan Masyarakat MADANI”. Forum ini memfokuskan kepentingan sastera dan bahasa Melayu dari aspek kehidupan masyarakat yang berkait rapat dengan unsur perpaduan. Program ini hasil kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP).

Untuk program tersebut, ahli panel terdiri daripada Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd Mansor@ Ismail Abdullah (Ketua Satu DPMP), YBhg. Dato Dr. Haji Munawar Hj. Abd Jalil (Timbalan Ketua Satu DPMP), Puan Nor Azah Abd Jalil (Ketua Jabatan Akaun Universiti Islam Sultan Ahmad Shah/Ahli DPMP), Encik Saruchi Sawal (Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang selaku Munsyi Dewan DBP), Encik Ahmad Noh (Ketua Jabatan Sastera Ikhtisas dan Sains Sosial Kolej Matrikulasi Pahang), dan Encik Nasrul Isyam Abdul Hamid (moderator yang juga Ketua Unit Pengajian Am Matrikulasi Kolej Matrikulasi Pahang).

Program Dirgahayu Malaysiaku dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh Encik Noor Azman Norawi @ Man Kayan, anak seni kelahiran negeri Pahang yang begitu aktif dalam bidang seni muzik tradisional Pahang. Selain terlibat dalam bidang nyanyian lagu rakyat, beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan untuk memperkenalkan irama lagu rakyat Pahang. Antara lagu puisi yang didendangkannya termasuklah Antara Biola dengan Senjata, karya oleh Nazri Sham dan Lemak Manis, karya Roslan Madun.

Program Dirgahayu Malaysiaku bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) merupakan kesinambungan pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 1999 bagi menyahut seruan kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu. Pelbagai akiviti kebahasaan dan kesusasteraan dijalankan di seluruh negara bagi memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Moderator dan ahli panel forum yang bertemakan “Bahasa Melayu Asas Perpaduan Masyarakat MADANI.
Encik Noor Azman Norawi @ Man Kayan bersama-sama Kumpulan Anak Kayan mendendangkan beberapa buah lagu puisi.
Puan Latiza A. Latif, Pengarah Kolej Matrikulasi Pahang bergambar kenangan bersama-sama ahli panel dan peserta program yang terdiri daripada 1154 orang pelajar Kolej Matrikulasi Pahang.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.