Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Mertajam – Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) telah melaksanakan Pertandingan Lestari Jawi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, Insititut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB) di Perpustakaan Za’ba, IPGKTB.
Sebanyak 150 bakal guru dari IPGKTB menyertai Pertandingan Lestari Jawi ini. Antara aktiviti tersebut termasuklah Pertandingan Baca Naskhah Melayu Klasik, Transliterasi Jawi, Bengkel Penulisan Jawi, Pertandingan Khat Jawi, Pertandingan Pantas Jawi dan Pertandingan Pintar Jawi.
Usaha mengangkat martabat tulisan Jawi sebagai satu daripada sistem tulisan bahasa Melayu yang pernah menjadi lambang dan simbol bahasa Melayu merupakan antara objektif Pertandingan Lestari Jawi.
Selain itu, pameran manuskrip Melayu dan pameran inovasi Jawi juga dapat mendedahkan para peserta tentang khazanah persuratan Melayu, serta meningkatkan daya kreativiti bakal guru yang akan mendidik generasi muda pada masa akan datang bagi menerapkan sistem tulisan Jawi yang mempunyai nilai yang tinggi.
Menurut Timbalan Pengarah IPGKTB, YBrs. Dr. Mariah Ibrahim,
Pertandingan Lestari Jawi ini sedikit banyak dapat menggamit kenangan lama ketika saya mempelajari tulisan Jawi sewaktu di bangku sekolah. Selain itu, para pelajar perlu mengambil peluang untuk meningkatkan tahap penguasaan Jawi supaya dapat dikekalkan untuk kegunaan pada masa akan datang.
Encik Armin Azhari Saleh, Pengarah DBPWU dalam ucapannya pula menyatakan harapannya agar lebih banyak program seperti ini diwujudkan pada masa akan datang. Menurut beliau, pertandingan ini wajar diadakan saban tahun kerana mendatangkan banyak kesan positif kepada para peserta.