Oleh Basirah Arifin
15 Oktober 2023, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Nerus Karnival Semarak Bahasa Bulan Bahasa Kebangsaan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, Universiti Malaysia Terengganu, semalam telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Ab Rasid Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), yang mewakili Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Menurut YBrs. Encik Ab Rasid Jusoh, Kerajaan Terengganu  sentiasa menyokong usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkasakan bahasa kebangsaan. Hal itu termasuklah usaha yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memastikan papan iklan, papan tanda, nama jalan, dan papan premis perniagaan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, serta bercitrakan Malaysia.

YBrs. Encik Ab Rasid Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Kerajaan Negeri Terengganu ketika merasmikan Karnival Semarak Bahasa Bulan Bahasa Kebangsaan 2023.

Tambahnya lagi,

Karnival ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Inilah bukti usaha kita untuk memperkukuh kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan serta menyedarkan masyarakat bahawa betapa pentingnya kita menerapkan budaya suka membaca yang bermula seawal usia kanak-kanak bagi membentuk masyarakat yang berilmu pengetahuan serta tidak ketinggalan dalam era globalisasi.

Sehubungan dengan majlis tersebut, Borak Orang Timur (BOT) juga diadakan yang memfokuskan topik “Doktor Menulis…Meraikan Industri Kreatif”, yang menampilkan YBrs. Dr. Ahmad Fadhil Mohamad dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu; YBrs. Prof. Dr. Nik Hazlina Hussain dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan dan YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, selaku moderator.

Seorang peserta mencuba nasib dalam Pertandingan Akulah DeeJay.

Sepanjang karnival berlangsung, Pertandingan Akulah Deejay yang dihoskan oleh stesen Radio Manis FM turut diadakan selain Pertandingan Baca Naskhah yang melibatkan penyertaan 150 orang pelajar dan guru prasekolah di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Terengganu, dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu.

Pertandingan Baca Naskhah juga mendapat penyertaan peserta yang menggalakkan.

Pelibatan para pelajar institut pengajian tinggi awam dan institut pengajian tinggi awam dalam karnival ini turut menyemarakkan lagi Pertandingan Resensi Buku, Pertandingan Eksplorasi Ilmu dan Program Bimbingan Penciptaan Bahan Digital.

Kemuncak karnival yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Timur ini diakhiri dengan program Malam Semarak Puisi, yang menampilkan pelbagai elemen persembahan yang berasaskan puisi moden dan tradisional, seperti deklamasi puisi, persembahan lagu puisi, dekon, dan gurindam dengan selingan persembahan tarian tradisional, nyanyian lagu rakyat, dan nyanyian lagu popular masa ini.

Antara tetamu yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat ( Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Bahasa, DBP) YBrs. Puan Ariza Haji Che Ismail (Pengarah DBP Wilayah Timur) dan YBrs. Prof. Madya Dr. Che Hasniza Che Noh (Pengarah Penerbit UMT).

Barisan tetamu kehormat dan para jemputan bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.