Oleh Asrar Ab Latif
5 November 2023, 18:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan – Jerayawara Bahasa Jiwa Bangsa (JBJB) yang diadakan pada 4 November 2023 di Pentas Anggerik, Kompleks Beli-belah, Ujana Kewangan, Labuan, melabuhkan tirainya dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan yang disempurnakan oleh YBrs. Encik Simsudin Sidek, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan.

“Apabila memahami makna khusus nama ‘Jerayawara’ ini, saya kagum dengan warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila mereka sanggup berkunjung ke Labuan bagi mencapai matlamat utama organisasi, iaitu tentulah untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi identiti negara bangsa Malaysia supaya digunakan secara menyeluruh dengan penuh kebanggaan”, demikian antara ucapan YB Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman@Haniff Amman, Pengerusi Perbadanan Labuan, yang teks ucapannya dibaca oleh YBrs. Encik Simsudin Sidek ketika merasmikan Majlis Penutupan Jerayawara Bahasa Jiwa Bangsa.

Beliau turut berbesar hati menyempurnakan sesi penyampaian wakaf buku terbitan DBP kepada Perpustakaan Desa Kampung Sungai Labu, Perpustakaan Desa Kampung Lajau dan Perpustakaan Desa Durian Tunjong.

Selain itu, beliau turut menyampaikan hadiah Pertandingan Eksplorasi Bahasa, Pertandingan Monodrama Tunas Muda dan Pertandingan Mewarna Si Cilik, manakala Syarikat SazaRice menaja beras basmathi kepada johan, naib johan dan tempat ketiga Pertandingan Eksplorasi Bahasa. Sementara itu, Syarikat Chan & Shahriman Arkitec Sdn. Bhd. pula menaja percetakan kemeja-T JBJB 2023.

“JBJB merupakan satu daripada program yang dilaksanakan oleh DBP di seluruh negara bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) bagi tahun 2023, Peringkat Wilayah Pesekutuan Labuan”, ujar YBrs. Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Antara program yang berlangsung semasa jerayawara tersebut termasuklah Riadah Seni, Sembang Santai bersama-sama Bank Islam Cawangan Labuan, Roda Kata, pameran dan jualan buku DBP.

Majlis penutupan program tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat dan rakan sinergi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. Cenderamata dititipkan kepada rakan sinergi yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program JBJB pada kali ini, iaitu Ujana Kawangan dan Perbandaran Perbadanan Labuan.

YBrs. Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

 

Sesi penyampaian wakaf buku terbitan DBP kepada wakil Perpustakaan Desa Kampung Sungai Labu, Perpustakaan Desa Kampung Lajau dan Perpustakaan Desa Durian Tunjong.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.