Oleh Asrar Ab Latif
6 November 2023, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan – Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah tidak ketinggalan menganjurkan Jerayawara Bahasa Jiwa Bangsa (JBJB), khususnya buat warga Labuan selama dua hari di Pentas Anggerik, Ujana Kewangan, Wilayah Persekutuan Labuan semalam.

Pertandingan Eksplorasi Bahasa yang disertai oleh 16 kumpulan antara aktiviti yang mendapat tempat di hati warga Labuan tanpa mengira usia. Menerusi program tersebut, pelbagai aktiviti dianjurkan yang melibatkan setiap lapisan masyarakat bermula daripada kanak-kanak hingga dewasa. Program tersebut bertujuan untuk memperkasakan budaya membaca dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Pertandingan Eksplorasi Bahasa menempatkan lima stesen, iaitu stesen Kudat yang memberikan tugasan aksi atau lakonan peribahasa, perumpamaan, bidalan dan simpulan bahasa. Sementara itu, stesen Tawau memberikan tugasan suai padan majalah terbitan DBP.

Stesen seterusnya ialah Sandakan dengan tugasan tulisan Jawi. Selain itu, tugasan bahasa sukuan dibuat semasa berada di stesen Pantai Barat. Akhir sekali, semua peserta berkumpul di stesen terakhir di Pentas Anggerik, Ujana Kewangan, untuk permainan kahoot secara dalam talian untuk mengenali dengan lebih dekat tentang DBP.

Yang menariknya, setiap kumpulan diberi nama berdasarkan nama Sasterawan Negara (SN) dan Sasterawan Negeri Sabah sebagai nama kumpulan dalam pertandingan ini untuk mendedahkan para peserta kepada tokoh sastera di Malaysia.

Johan Pertandingan Eksplorasi Bahasa membawa pulang wang tunai RM1000.00, hadiah iringan berupa beras tajaan SazaRice dan sijil penghargaan disandang oleh Kumpulan SN Noordin Hassan, manakala naib johan dirangkul oleh kumpulan SN Muhammad Haji Salleh, yang membawa pulang wang tunai yang berjumlah RM700.00, beras basmathi tajaan Sazarice dan sijil penghargaan. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan SN Shahnon Ahmad yang membawa pulang RM500.00, beras basmathi tajaan Sazarice dan sijil penghargaan.

Hadiah sagu hati wang tunai yang berjumlah RM200.00 dan sijil penghargaan turut diberi kepada tujuh kumpulan, iaitu SN Syed Othman Kelantan, SN Anwar Ridhwan, SN Arena Wati, SN A. Samad Said, SN Keris Mas, SN Usman Awang dan SN Rahman Shaari.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Eksplorasi Bahasa.
Peserta berbincang dalam kumpulan masing-masing bagi menyiapkan tugasan yang diberikan dalam Pertandingan Eksplorasi Bahasa.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.