Oleh Abd Razak Osman
14 November 2023, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia mengambil langkah positif menganjurkan Program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti “Gebang Loghat Utagha” yang berlangsung di Hotel The Putra Regency, Kangar, Perlis, pada hari ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah “kolokial” membawa makna bersifat bahasa percakapan atau bahasa basahan (bukan bahasa baku). Bahasa basahan tergolong dalam jenis neka bahasa rendah dengan ciri-ciri seperti tidak mematuhi semua peraturan tatabahasa, sebutan dan penggunaan kata.

Lebih 100 orang peserta mewakili pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah kalangan ahli persatuan penulis di negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang menyertainya selepas perasmian oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Perpaduan Negara, YBrs. Puan Norihan Mohamed Naim, yang mewakili Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, yang dikuti dengan persembahan khas kebudayaan oleh Kumpulan Twinnes.

Katanya, program yang bertemakan “Gebang Loghat Utagha” ini dilaksanakan setelah menyedari akan kepentingan bahasa sebagai khazanah warisan negara yang perlu dipelihara dan didokumentasikan supaya tidak luput ditelan arus kemodenan dan kepesatan kemajuan teknologi.

Kementerian sekarang ini dalam usaha melestarikan bahasa sebagai satu daripada wadah yang paling utama dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan etnik di negara ini. Bahasa merupakan cerminan budaya dan jati diri sesebuah bangsa.

Sebelum ini, empat program yang berkaitan telah dianjurkan oleh kementerian tersebut seperti “Menghilir Sungai Pahang” di Kuantan, Pahang pada 13 Julai 2023, “Telusuri Bayu Nabalu” di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 September 2023, “Moh Labun Loghat Perak” di Ipoh, Perak pada 26 Oktober 2023 dan “Rindok Ati Kelaka Sarawak” di Kuching, Sarawak pada 9 November lalu.

Program pada kali ini dilaksanakan dalam dua sesi bicara dengan menampilkan enam orang tokoh pembicara dan dua orang pengerusi sesi yang terdiri daripada kalangan ahli akademik serta penggiat bahasa dan budaya untuk berkongsi pengalaman, kajian dan penyelidikan serta pandangan mengenai bahasa kolokial kepada masyarakat umum.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman dalam ucapannya berharap agar usaha yang dilakukan dapat melahirkan lebih banyak ahli masyarakat yang baik budi pekerti yang sesuai dengan ungkapan dalam pantun Melayu, iaitu “Yang merah itu saga, Yang kurik itu kundi; Yang indah itu bahasa, Yang baik itu budi”.

Sementara itu, Ketua Urus Setia Program, iaitu Puan Nor Kamisah Yusoff pula berkata, banyak perkara baharu dapat dihayati oleh para peserta setelah mengikuti Sesi Bicara 1–Konsep dan Penggunaan Bahasa Kolokial. Antaranya termasuklah daripada Ketua Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu YBrs. Encik Abdul Ghani Abu dengan topik “Bahasa Kolokial dalam Konteks Peranan DBP”; Guru Bahasa Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), iaitu YBrs. Encik Mohamad Zaki Abdul Halim dengan topik “Konsep dan Penggunaan Bahasa Kolokial Masyarakat Utara”; Penyusun Kamus Dialek Perlis, iaitu YBrs. Encik Wan Nan Wan Mahmud dengan topik “Pengalaman dan Usaha Penyusunan Kamus Dialek Perlis” bersama-sama pengerusi sesi, iaitu YBrs. Dr. Roziah Ramli, selaku Pensyarah, Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis.

Bagi Sesi Bicara 2 dengan topik “Bahasa Kolokial Masyarakat Setempat” pula melibatkan Tokoh Pembicara Warisan Orang Hidup, iaitu YBrs. Encik Romli Mahamud dengan topik “Penggunaan Bahasa Kolokial dalam Persembahan Seni Budaya Perlis”; penulis prolifik, iaitu YBrs. Puan Amelia Hashim dengan topik “Perbezaan Loghat Bahasa Kedah Mengikut Kawasan” dan Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang, iaitu YBhg. Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz dengan topik “Penggunaan Bahasa Kolokial Masyarakat Pulau Pinang”. Sesi ini dipengerusikan oleh Pensyarah, Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, UniMAP, iaitu YBrs. Dr. Noriha Basir.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengembangan dan Penyelidikan), Arkib Negara Malaysia, iaitu Encik Mokhtaruddin Lamsin; Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Kedah/Perlis, iaitu Encik Abdul Jabar Mohamad Ridi dan Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Pulau Pinang, iaitu Encik Mohamad Shahriman Sahar.

YBhg. Dato’ Jaafar Sidek Abdul Rahman sedang berucap.
Puan Norihan Mohamed Naim (enam dari kiri) bersama dengan beberapa orang penceramah.
Peserta yang hadir dalam program tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.