Oleh Abd Razak Osman
26 November 2023, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baling – Minggu Bahasa anjuran Panitia Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Tiak yang berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun SK Tiak, Baling, Kedah mulai hari ini hingga 30 November 2023 memberikan peluang kepada murid sekolah tersebut untuk menunjukkan bakat masing-masing dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Program yang bertemakan “Ilmu Bahasa Mencambah Minda” itu melibatkan sebanyak 226 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam, termasuklah 19 murid daripada kategori Orang Kurang Upaya (OKU) Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 25 murid prasekolah.

Poster Minggu Bahasa SK Tiak, Baling, Kedah yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Pelbagai aktiviti bahasa Melayu dijalankan seperti “Saya Pandai Tulis”, “Teka Silang Kata”, “Tulisan Cantik”, “Mari Bina Ayat”, “Saya Pandai Eja”, “Celik Peribahasa”, “Asuh Minda” dan “Kuiz Spontan”.

Penyelaras program,iaitu  Encik Hamizan Omar berkata bahawa program tersebut dapat membina jati diri dalam kalangan murid, di samping memperteguh perpaduan bangsa dan sastera selaras dengan tujuannya untuk memupuk semangat kecintaan terhadap seni warisan, sastera dan budaya bangsa.

Sementara itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), YBrs. Encik Armin Azhari Saleh, dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa langkah yang diambil oleh pihak sekolah bagi menganjurkan program tersebut amat baik dan boleh dicontohi oleh sekolah-sekolah lain.

Pengarah DBPWU, YBrs. Encik Armin Azhari Saleh (tengah) ketika merasmikan Minggu Bahasa di SK Tiak, Baling.

Guru Besar SK Tiak, YBrs. Encik Badrol Md Daud pula berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk menyebar dan memupuk minat murid terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu, di samping mempelajari bahasa lain untuk kebaikan diri pada masa akan datang.

Beliau turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Jalinan dan Jaringan Pintar dengan DBPWU.

YBrs. Encik Armin Azhari Saleh (kiri) bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) Jalinan dan Jaringan Pintar dengan Guru Besar SK Tiak, YBrs. Encik Badrol Md Daud.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.