Oleh Abd Razak Osman
22 Disember 2023, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Program Pendidikan Penempatan Pelajar Universiti Thaksin Songkhla, Thailand ke Malaysia, terutama ke negeri Kedah antara perkara yang dibincangkan semasa tujuh orang pegawai universiti itu berkunjung ke Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di Alor Setar, Kedah semalam.

Ketibaan rombongan pegawai dari universiti itu ke JPN Kedah telah disambut oleh Pengarahnya, iaitu Encik Ismail Othman dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Negeri Kedah, iaitu Encik Mahadhir Ismail.

Penyelaras program itu, Encik Abdul Rahim Mat berkata, usaha yang dilakukan ini bakal membuka peluang kepada pelajar universiti tersebut untuk mempelajari bahasa Melayu dan nilai budaya Melayu.

Perbincangan yang diadakan ini berjaya mengeratkan hubungan baik antara kedua-dua pihak, iaitu antara Universiti Thaksin Songkhla, Thailand dan JPN Kedah dalam usaha mempelajari bahasa Melayu– bahasa Thai pada masa hadapan.

Rombongan pegawai dari Universiti Thaksin Songkhla, Thailand diketuai oleh Dekan Jabatan Pendidikan, Penolong Prof. Dr. Witthawat Khattiyamarn.

Yang turut mengiringi lawatan persahabatan tersebut termasuklah para pensyarah, iaitu Dr. Natthanan Tongmark, Prof. Dr. Noppakao Naphatthalung, Jeerut Aromchuen, Chalermchai Manoosawet, Poonkeat Mongkonsawasd dan Baree Dorma dari Samakisast Wittaya School, Sadao, Songkhla, Thailand.

Semasa majlis itu berlangsung, Ketua Jabatan Pengajaran Seni Liberal, Fakulti Pendidikan dari universiti itu, iaitu Dr. Natthanan Thongmark bertindak sebagai jurucakap, manakala seorang aktivis pendidikan di negeri Kedah, Encik Sobri Bakar pula bertindak sebagai pengiring dan jurucakap bahasa Melayu.

Dr. Witthawat berharap, melalui jalinan hubungan baik tersebut, pihak Fakulti Pendidikan Universiti Thaksin diberi peluang untuk berkongsi amalan baik dan melihat standard kualiti pendidikan di negeri Kedah.

Sementara itu, Encik Ismail Othman pula menyatakan kesediaan untuk menjalinkan hubungan kerjasama, namun perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia melalui SOP sedia ada dan yang dirancang agar dapat berjalan lancar.

Encik Ismail Othman (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr. Witthawat Khattiyamarn di Pejabat Pengarah JPN.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.