Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGambang – Baru-baru ini telah diadakan Bengkel Asas Menulis Puisi yang bertempat di Kolej Matrikulasi Pahang (KMP). Bengkel yang dihadiri oleh 100 orang pelajar KMP tersebut adalah antara program yang dianjurkan bagi mengembangkan kegiatan sastera dan persuratan dalam kalangan pelapis muda di Pahang.
Puan Siti Zulaikha Adam (Zulaikha Adam) yang merupakan penerima hadiah utama karya sastera bagi kategori Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Iman kali Keenam (HASDI) 2023 telah diamanahkan untuk menjayakan program ini melalui perkongsian ilmu tentang penulisan puisi.
Dalam bengkel tersebut, peserta diajar tentang teknik menulis sajak dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul untuk meningkatkan rasa cinta anak muda terhadap bahasa Melayu.
Menurut Penyelaras Program yang juga Penolong Setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Sesi 23/25, iaitu Encik Nasrul Isyam Abdul Hamid,
Bengkel ini akan disebarluaskan ke sekolah dan institut pengajian tinggi di Pahang, bersama dengan sokongan dan dukungan bahawa sastera dan persuratan tidak akan mati selagi kita membuka ruang dan peluang kepada anak muda mendekati sastera dan persuratan.
Program anjuran Unit Pengajian Am, Jabatan Sastera dan Ikhtisas, KMP ini juga dianjurkan dengan kerjasama DPMP, Majlis Belia Daerah Kuantan (MBD Kuantan) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS Pahang) bagi menggembleng tenaga yang lebih strategik.
Di samping itu, matlamat bengkel ini adalah untuk mendekatkan anak muda dengan sastera, sekali gus meningkatkan tahap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Kolej Matrikulasi KPM.
Pada akhir bengkel, peserta diminta untuk menghasilkan sebuah sajak yang akan diterbitkan dengan kerjasama Sekretariat Penulis Muda DPMP melalui sumbangan percetakan daripada GPMS Pahang.
Yang turut hadir memberikan semangat kepada peserta sehingga tamat bengkel ialah Encik Ahmad Noh, iaitu Ketua Jabatan Sastera Ikhtisas dan Sains Sosial KMP; YBrs. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd Mansor Abdullah, iaitu Presiden DPMP, dan Encik Mohd Zharif A Rahim, iaitu Pengerusi MBD Kuantan, yang menjadi penaja makan dan minum peserta, serta elaun penceramah.