Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – “Media konvensional yang mencakupi media elektronik seperti radio dan televisyen memainkan peranan yang penting dalam menyebar luas usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan”, ujar Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, dalam sesi kunjungan hormat beliau bersama-sama pegawai DBP Cawangan Sabah, yang disambut baik oleh Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Puan Salmah Hashim, pagi tadi.
Menurut beliau, DBP Cawangan Sabah dan RTM Sabah perlu terus bekerjasama dalam mempromosikan bidang bahasa dan sastera kebangsaan, di samping mengetengahkan budaya tempatan kepada masyarakat.
Kita tidak nafikan, hubungan DBP–RTM telah terjalin utuh sejak bertahun lamanya. Pelbagai aktiviti dan kegiatan bahasa telah berjaya dilaksanakan saban tahun, justeru pada tahun ini, kami berhasrat mencadangkan program kerjasama yang baharu di samping menambah baik kegiatan yang sedia ada.
Tambah Puan Salmah Hashim pula, iaitu Pengarah RTM Sabah,
Kami amat berbesar hati dengan kunjungan serta program yang telah dicadangkan oleh DBP pada kali ini. Dalam hal ini, DBP–RTM perlu bersama-sama memberi sepenuh pengalaman dan pengetahuan sedia ada ke arah memartabatkan lagi bahasa kebangsaan di Sabah. Cadangan ini akan diatur secara tuntas dan pihak kami tidak berhalangan serta mengalu-alukan kerjasama strategik antara DBP dengan RTM.
Kunjungan hormat DBP Cawangan Sabah ke RTM Sabah yang diadakan di Bilik Selingan, Aras 1, Kompleks Bersepadu, Kementerian Komunikasi tersebut bukan sahaja membuka ruang perbincangan bahkan mengeratkan kolaborasi antara dua pihak, lebih-lebih lagi dalam usaha pemartabatan bahasa dan sastera kebangsaan.
Yang turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Pengarah I, Puan Jennitah Noordin dan Penolong Pengarah yang merangkap Ketua Unit Promosi dan Penataran, Puan Ezura As’ad Azam, serta para pegawai dari DBP dan RTM.