Oleh Azrin Eddy
20 Februari 2024, 20:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Beaufort, Sabah Taklimat Pembinaan Kamus Saku BisayaMelayu Dewan telah diadakan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Bisaya Sabah pada pagi tadi. Taklimat ini bertujuan berkongsi mengenai tatacara pembinaan, penyusunan dan penerbitan kamus mengikut standard DBP.
Taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah, Puan Julianah Kuli ini turut dihadiri oleh Pengerusi Kelab Bahasa dan Sastera Bisaya, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Encik Nadin Hj Salleh; Dr. Hajah Siti Aidah Lokin, Timbalan Presiden II, PBBS, dan ahli jawatankuasa PBBS.
“Ketekunan, komitmen dan kerjasama yang padu oleh kedua-dua pihak amat diperlukan agar kerja-kerja pembinaan, penyusunan serta penerbitan kamus ini dapat berjalan dengan lancar,” ujar Puan Julianah.
Encik Nadin Hj Salleh pula turut menyatakan hasrat beliau agar usaha penerbitan kamus ini dapat direalisasikan dengan kerjasama yang utuh antara DBP Cawangan Sabah dengan PBBS.
Selain itu, taklimat ini juga rentetan daripada kunjungan hormat PBBS ke DBP Cawangan Sabah pada awal bulan Februari lalu yang berhasrat untuk menerbitkan Kamus Saku BisayaMelayu Dewan sebagai kamus rintis masyarakat Bisaya.
Penerbitan kamus ini kelak diharapkan dapat dimanfaatkan dan dijadikan rujukan oleh para pengguna, penyelidik dan masyarakat Bisaya, khususnya generasi muda yang tidak lagi menuturkan bahasa ibunda mereka.
Tambahan pula, penerbitan kamus ini dilihat sebagai usaha untuk mendokumentasikan dan melestarikan bahasa peribumi di Sabah.
Pembinaan kamus dwibahasa sukuan Sabah merupakan satu daripada peranan besar DBP Cawangan Sabah dalam usaha pembinaan kosa kata bahasa sukuan di Sabah yang akan memperkaya kosa kata bahasa Melayu.
Setakat ini, DBP Cawangan Sabah telah menerbitkan dua buah kamus bahasa sukuan, iaitu Kamus Bergambar Bahasa KadazandusunBahasa Melayu (Edisi Murid Tahap 1) dan Kamus Murut TaholMelayu Dewan.
Selain menyampaikan taklimat, DBP Cawangan Sabah juga mengambil peluang ini untuk menyampaikan wakaf buku di Pusat Sumber PBBS. Wakaf Buku pada kali ini disampaikan oleh Puan Julianah Kuli yang mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, iaitu YBrs. Puan Aminah Awang Basar sebagai usaha memperbanyak bahan bacaan sekali gus menggalakkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat Bisaya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.