23 Februari 2024, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang telah dinobatkan sebagai Johan Pesta Pantun Kebangsaan 2024, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00 berserta piala dengan menewaskan 16 buah pasukan JPN dari seluruh negara.

JPN Negeri Pahang terus mengungguli kejohanan dengan menyaksikan Mohamad Khusairi Abdullah Sani diumumkan sebagai Pemantun Terbaik, dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200.00 berserta piala.

Naib johan pula disandang oleh pasukan JPN Negeri Selangor yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 750.00 berserta piala.

Pesta Pantun Kebangsaan 2024 yang berlangsung dari 20 Februari 2024 hingga 22 Februari 2024 telah diadakan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Johor Bahru, Johor, dengan JPN Negeri Johor sebagai tuan rumah.

Program ini merupakan anjuran JPN dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Sehari sebelum pertandingan bermula, para peserta telah diberi pendedahan tentang format pertandingan dan teknik penciptaan pantun yang berkesan oleh Encik Akilul Nazar Arbain, iaitu jurulatih pantun kebangsaan.

Penataran dan apresiasi ini membolehkan para peserta membuat persiapan rapi sebelum gelanggang pantun dibuka.

Sementara itu, Majlis Penutupan Pesta Pantun Kebangsaan 2024 ini disempurnakan oleh YBrs. Puan Faizah Jaarudin, iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPN.

Beliau menegaskan dalam ucapan penutupannya agar pegawai JPN dapat menggunakan bahasa Melayu dengan betul selain memelihara warisan dan budaya bangsa. Tambah beliau,

Sungguhpun tugas hakiki mereka ialah menyantuni pelanggan di kaunter, namun para pemantun yang mengambil bahagian mampu mencipta pantun dengan baik apatah lagi dalam suasana spontan.

Pesta pantun ini selain mengeratkan jalinan ukhuwah sesama kakitangan JPN, juga dapat menjadi satu daripada aktiviti pengurusan stres yang berkesan apabila mereka beralih seketika daripada tumpuan terhadap tugas rasmi.

Program ini turut disambut baik oleh pengurusan tertinggi JPN yang turut serta memeriahkan acara.

Naib johan disandang oleh pasukan JPN Negeri Selangor yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 750.00 berserta piala.
Para peserta bertanding dalam Pesta Pantun Kebangsaan 2024.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.