6 Mac 2024, 20:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Adib Zulkifli

Seremban “Bahasa Melayu bernilai komersial yang memberikan kelebihan untuk bersaing di pasaran global dengan memupuk komunikasi yang autentik dengan membina kepercayaan dengan pelbagai audiens.”

Demikian antara ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Rangkaian Hotel Seri Malaysia, iaitu YBrs. Dr. Zaharudin Othman sebelum merasmikan forum yang bertajuk “Bahasa Melayu dan Nilai Komersial”, yang bersiaran secara langsung melalui media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd. (RHSM), petang ini di Dewan Sri Menanti, Hotel Seri Malaysia Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut beliau, forum ini diadakan untuk menyemarakkan lagi program kebahasaan dan kesusasteraan Melayu selaras dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Agensi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Forum anjuran RHSM dengan kerjasama DBP melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dan Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini menampilkan Encik Ahmad Fedtri Yahya (Personaliti televisyen, penulis dan pengacara) dan Puan Roziah Md Yunus (Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP), selaku ahli panel. Puan Farrah Shahrizan Mohd Yunus, iaitu Pengurus Kumpulan Bahagian Komunikasi dan Penjenamaan Korporat RHSM pula bertindak sebagai moderator.

Menurut Encik Ahmad Fedtri Yahya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah dan hal ini dapat dilihat dalam karya-karya lama.

Tegas beliau, masyarakat juga perlu menggunakan bahasa Melayu dengan betul sejajar dengan perkembangan teknologi digital.

“Kecanggihan teknologi kini amat merisaukan jika masyarakat terbiasa menggunakan bahasa basahan atau bahasa rojak yang boleh merosakkan keindahan bahasa Melayu”, ujar beliau.

Tambah beliau,

 Jika kita seorang pencinta bahasa Melayu, maka semua perkataan dalam bahasa Melayu itu boleh dicipta sebagai bait-bait lagu atau puisi yang indah liriknya.

Sementara itu, menurut Puan Roziah Md Yunus pula, bahasa Melayu banyak digunakan dalam konteks rasmi oleh agensi kerajaan dan sektor swasta serta termasuklah dalam industri kreatif seperti multimedia, seni dan budaya.

Tambah beliau,

DBP bersedia menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian seperti penganjuran program kebahasaan dan kesusasteraan dalam usaha menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Pada akhir forum, Ketua Bahagian Penguatkuasaan, DBP, iaitu Encik Rahimi Arifin yang mewakili Ketua Pengarah DBP, iaitu YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, bahasa Melayu selaku wahana penulisan dan komunikasi perlulah mempunyai nilai komersial bagi menjadikannya pilihan kepada masyarakat yang dinamik fungsinya dan membolehkannya digunakan dari pelbagai aspek.

Kita perlu mewujudkan seberapa banyak ruang dan peluang untuk melonjakkan bahasa Melayu di persada dunia. Tiada cacat cela pada bahasa Melayu kerana bahasa Melayu juga pernah menjadi lingua franca pada zaman kerajaan Melayu Melaka dahulu.

Yang turut hadir dalam forum tersebut ialah tetamu kehormat, pakar bahasa, karyawan DBP, tetamu jemputan dan rakan media.

Pengerusi Rangkaian Hotel Seri Malaysia, iaitu YBrs. Dr. Zaharudin Othman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Encik Ahmad Fedtri Yahya ketika berkongsi ilmu kepada khalayak yang hadir dalam sesi forum pada petang tadi.
Puan Roziah Md Yunus, selaku ahli panel kedua.
Puan Farrah Shahrizan Mohd Yunus, selaku moderator ketika mengendalikan forum.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan, DBP, iaitu Encik Rahimi Arifin mewakili Ketua Pengarah DBP, iaitu YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika berucap pada akhir program.
Tetamu kehormat, ahli panel dan tetamu undangan bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.