7 Mac 2024, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban “Bahasa Melayu itu jati diri rakyat Malaysia. Kenapakah kita harus malu dengan apa-apa yang patut kita banggakan?”

Itu antara kata-kata keramat yang kedengaran dalam Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial yang julung-julung kali diadakan di Hotel Seri Malaysia Seremban, Negeri Sembilan.

Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial yang diadakan pada petang semalam merupakan anjuran Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd. (RHSM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu yang selari dengan usaha penjenamaan semula perkhidmatan mereka.

Sehubungan dengan itu, DBP dan RHSM merancang lebih banyak program kebahasaan dan kesusasteraan dalam usaha menormalisasikan bahasa dan sastera kepada masyarakat khususnya dalam perkhidmatan perhotelan.

Forum yang dirasmikan oleh Pengerusi RHSM, iaitu YBrs. Dr. Zaharudin Othman ini menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, iaitu Puan Roziah Md Yunus, dan personaliti televisyen dan penulis lirik, iaitu Encik Ahmad Fedtri Yahya. Pengurus Kumpulan Bahagian Komunikasi dan Penjenamaan Korporat RHSM, iaitu Puan Farrah Shahrizan Mohd Yunus pula bertindak sebagai moderator. 

Dalam forum tersebut, Puan Roziah menyatakan bahawa bahasa Melayu telah terbukti berwibawa mewujudkan pasaran komersial dari segi penggunaan dalam industri dan alih wahana sumber dalam bahasa Melayu.

“Namun begitu, cabaran terbesar adalah konsistensi dan kreativiti dalam penggunaan bahasa Melayu oleh pihak yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Encik Ahmad Fedtri pula menyimpulkan bahawa industri kreatif di Malaysia sememangnya meraikan bahasa Melayu.

Tegas beliau, “Kepekaan terhadap perkembangan bahasa Melayu terutamanya istilah semasa dalam bidang tertentu juga perlu dipertingkatkan”.

Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial ini dihadiri oleh 100 orang peserta dan turut dipancarkan secara langsung di 21 cawangan RHSM di seluruh Malaysia dan secara dalam talian melalui media sosial DBP.

 

YBrs. Dr. Zaharudin Othman ketika merasmikan Forum Bahasa Melayu dan Nilai Komersial.
Encik Ahmad Fedtri Yahya bertindak sebagai ahli panel forum.
Puan Roziah Md Yunus ketika berkongsi ilmu kepada khalayak.
Puan Farrah Shahrizan Mohd Yunus pula bertindak sebagai moderator forum.

 

Antara sebahagian khalayak yang hadir mengikuti forum yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Seremban.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.