Oleh Nora Markom
14 Mac 2024, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Majlis Perasmian Penutupan Program Pelaksanaan Praktikum Pelajar Universiti Prince of Songkla (PSU), Kampus Pattani, Thailand di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) berlangsung pada hari ini di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, IPGKBM.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah IPGKBM, iaitu YBrs. Dr. Nirwana Mohd Rashid, yang mewakili Pengarah IPGKBM, iaitu YBrs. Dr. Masitah Mohammad Yusof yang mengharapkan agar pelajar yang terlibat mendapat pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berguna untuk masa depan mereka sepanjang berada di Malaysia.

Ketua Jabatan JPPI, iaitu YBrs. Dr. Roslina Suratnu menerima cenderamata daripada wakil PSU.

Selain dihadiri oleh Ketua Jabatan dan Ketua Unit dari IPGKBM, Universiti Prince of Songkla pula diwakili oleh pensyarah Program Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu, iaitu YBrs. Encik Husen Sawal dan YBrs. Encik Rusdee Masor, serta tiga orang pelajar PSU yang menjalani praktikum sejak 20 Disember 2023, iaitu Encik Sabil Binusen, Puan Suhaila Chekayo dan Puan Saswanee Malee.

YBrs. Encik Husen Sawal dalam ucapannya memaklumkan bahawa PSU merupakan institusi pengajian tinggi pertama di Thailand yang menawarkan program yang berteraskan bahasa Melayu sejak tahun 1991 demi memastikan penggunaan bahasa Melayu terus hidup di bumi Gajah Putih.

Sementara itu, Encik Sabil Binusen pula melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program praktikum yang dijalaninya kerana pengalaman yang diperoleh sangat berharga terutamanya peluang berinteraksi secara terus menggunakan bahasa Melayu dengan pelajar IPGKBM yang sangat mesra dan melayan mereka dengan baik.

Rakan beliau, iaitu Puan Suhaila Chekayo pula berpendapat bahawa peluang menjadi guru di Prasekolah Bintang, IPGKBM memberikan kesan besar kepada mereka bertiga kerana mendapat ilmu untuk mendidik anak-anak kecil berkenaan dengan literasi membaca dan menulis di samping mempelajari budaya Melayu di Malaysia.

Puan Suhaila Chekayo merupakan antara 18 orang pelajar PSU semester akhir Pengajian Bahasa Melayu.

Seorang lagi pelajar yang terlibat dalam program yang dikendalikan oleh Unit Hubungan Luar dan Antarabangsa, Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi (JPPI) ini, iaitu Puan Saswanee Malee juga berasa sangat teruja ketika berada di kampus IPGKBM kerana mendapat kesempatan terlibat dalam pelbagai aktiviti penyelidikan dan inovasi pendidikan bahasa Melayu.

Puan Saswanee Malee, pelajar PSU yang menjalani praktikum di IPGKBM.

Sepanjang berada di IPGKBM, mereka dilibatkan dengan aktiviti penulisan artikel, penghasilan produk inovasi, pengurusan majlis, melaksanakan sesi pengajaran di prasekolah dan mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas bersama-sama pelajar IPGKBM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.