Oleh Nora Markom
18 April 2024, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bengkel Penghasilan Inovasi Novis yang menyasarkan para siswa guru telah berlangsung pada hari ini di Bilik Simulasi Bestari, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM).

Tujuan pelaksanaan bengkel ini adalah untuk mendedahkan para peserta dengan kemahiran menghasilkan produk inovasi pendidikan Bahasa Melayu dengan menggunakan Model KIBUK, di samping pendedahan bimbingan secara berperingkat untuk penghasilan inovasi demi meningkatkan kemahiran sebagai guru Bahasa Melayu yang kreatif dan inovatif.

Bengkel ini dianjurkan oleh Unit Inovasi, Jabatan Perancangan Penyelidikan dan Inovasi (JPPI) yang menampilkan dua orang penceramah, iaitu Ketua Jabatan JPPI, YBrs. Dr. Roslina Suratnu dan Pensyarah Akademik IPGK Pendidikan Islam, YBrs. Puan Nora Markom.

YBrs. Dr. Roslina Suratnu telah berkongsi tentang fasa pengenalpastian masalah dalam pembinaan inovasi dan kepentingan inovasi pendidikan dalam kalangan guru Bahasa Melayu yang perlu dikuasai untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan berjalan lancar selaras objektif yang ditetapkan.

Empat lagi fasa penghasilan inovasi yang meliputi percambahan idea, pembinaan produk, ujian produk dan langkah pengkomersialan pula dijelaskan oleh YBrs. Puan Nora Markom. Penerangan beliau tersebut membangkitkan rasa teruja dalam kalangan para peserta kerana proses yang diperkenalkan mudah digunakan sebagai panduan dalam menghasilkan inovasi pendidikan.

Puan Nur Syazana Abdul Talib yang menjadi antara 32 orang wakil kelas pelajar PISMP Ambilan Jun 2022, dan PISMP (Persediaan) Ambilan Jun 2023 turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mengikuti bengkel yang mendedahkannya dengan pelbagai ilmu yang berkaitan dengan inovasi pendidikan khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Sementara itu, YBrs. Dr. Zanariah Hamid, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu yang turut mengikuti bengkel ini berpendapat bahawa bengkel sebegini dapat melahirkan bakal pendidik Bahasa Melayu yang kreatif dan kritis dalam menyampaikan isi pelajaran mereka dan seterusnya mampu menarik minat murid mengikuti sesi pembelajaran.

Majlis penutupan bengkel ini pula disempurnakan oleh Penolong Ketua Jabatan JPPI, YBrs. Dr. Mastura Halim yang menggalakkan siswa guru mengaplikasikan ilmu yang diperoleh untuk meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dan memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia.

YBrs. Puan Nora Markom, pensyarah memberikan penerangan kepada siswa guru tentang fasa penghasilan inovasi.
Pembentangan hasil perbincangan peserta.
Perbincangan kumpulan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.